Tamparan Francesca Albanese di Brussel – Menuntut kejituan di sebalik hipokrasi diplomasi dunia ke atas Gaza

Francesca Albanese/ Foto media Sumud Nusantara Command Centre (SNCC)

BRUSSEL, 23 April – “Jangan bertepuk tangan dahulu.” Amaran awal Francesca Albanese di podium Kongres Inaugurasi Parlimen Global Sumud semalam bukan sekadar protokol, tetapi satu petanda bahawa beliau tidak hadir untuk membuai emosi lebih 400 delegasi ahli parlimen dunia yang berkumpul di jantung Eropah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Albanese desak beralih dari simpati kepada tindakan material untuk menamatkan genosida di Gaza; hentikan simbolisme, tuntut impak nyata.
  • Deklarasi Brussels tuntut hentikan perdagangan senjata, pemutusan hubungan ekonomi, buka koridor kemanusiaan darat dan laut tanpa sekatan.
  • Delegasi Malaysia seru rancangan taktikal bersepadu; kesatuan merentasi parti untuk sokong flotilla dan tekanan politik berterusan di darat.
  • Sumud disifatkan sebagai ekosistem aktif; ahli parlimen mesti guna kuasa perundangan sekat saluran logistik dan hancurkan struktur apartheid.

Di hadapan wakil rakyat dari pelbagai pelosok dunia termasuk pemimpin dari negara-negara anggota kesatuan Eropah dan juga NATO, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ini memilih untuk menjadi “suara kejujuran” yang mencabar tembok diplomasi yang selama ini dianggap pasif.

Beliau mendesak dunia beralih daripada sekadar menyatakan simpati kepada tindakan material yang mampu menamatkan genosida di Gaza
secara tuntas.

Evolusi Strategi: Melampaui Simbolisme Antarabangsa

Kongres yang berlangsung di Brussels ini menjadi medan kritikal apabila Albanese melakukan “audit strategi” yang sangat diperlukan terhadap gerakan kemanusiaan global.

Beliau secara berani mempersoalkan mengapa, selepas 37 percubaan misi flotilla sebelum ini, sistem impunitas masih teguh berdiri. Beliau menuntut agar misi kali ini tidak lagi terperangkap dalam jerat simbolisme, sebaliknya menjadi titik tolak kepada impak yang lebih nyata dan menggerunkan sistem sedia ada.

Bagi Albanese, keberadaan para pemimpin dunia di kongres ini harus diterjemahkan kepada keberanian politik untuk mengganggu infrastruktur yang menopang penindasan.

Beliau mendesak transisi daripada sekadar kehadiran solidariti kepada tindakan yang benar-benar mampu memutus rantaian persongkolan (complicity) di peringkat antarabangsa melalui penguasaan saluran logistik dan ekonomi.

Deklarasi Brussels: Tuntutan Tindakan Drastik

Kemuncak kongres tersebut menyaksikan pemeteraian Deklarasi Brussels oleh ratusan ahli parlimen dunia, yang menggariskan tuntutan keras terhadap komuniti antarabangsa.

Deklarasi tersebut antara lain menuntut penghentian serta-merta sebarang perdagangan senjata dengan Israel, pemutusan hubungan ekonomi yang menyumbang kepada kelangsungan pendudukan, serta desakan agar koridor kemanusiaan dibuka secara paksa melalui jalan darat dan laut tanpa sekatan.

Dokumen bersejarah itu turut menekankan keperluan mendesak bagi negara-negara blok Barat untuk mengiktiraf kedaulatan Palestin secara penuh dan mengenakan sekatan diplomatik serta ekonomi yang komprehensif sehingga genosida dihentikan.

Tuntutan ini menjadi asas kepada “tindakan darat” yang diperlukan bagi menyokong gerakan di lautan.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Sani Araby

Suara Malaysia: Strategi Taktikal dan ‘Master Plan’ Baharu

Delegasi Malaysia yang turut hadir dalam kongres bersejarah ini memberikan penegasan serupa terhadap keperluan anjakan paradigma dalam perjuangan Palestin.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Sani Araby,  yang mengetuai delegasi Malaysia ke Brussels, menegaskan bahawa fasa perjuangan sekarang memerlukan pendekatan yang lebih sofistikated dan berani.

“Agenda pembelaan Gaza dan Palestin ini menuntut bukan sahaja keberanian, namun jauh lebih mahal adalah master plan strategi yang taktikal dan nafas baru.

“Pastinya strategi bukan semua perlu diceritakan, namun cukup penting untuk medan seperti di Brussel ini diupayakan dengan kejituan kesatuan merentasi ahli parlimen blok eropah serta dunia untuk ‘masuk tangan’ dan bersama lakukan tindakan,” tegas beliau ketika ditemui di sela kongres tersebut.

Beliau turut menyatakan persetujuan terbuka dengan pandangan Albanese yang memberi gambaran bahawa aksi flotilla di lautan berisiko gagal jika sistem di darat masih kekal dengan hipokrasi dan tidak bertindak berani.

Menurutnya, keberanian di laut mesti seiring dengan tekanan politik yang tidak berbelah bahagi di daratan.

Delegasi Malaysia ke Global Sumud Parlimentary Brussels Congress/ Foto media SNCC

Delegasi Malaysia: Kesatuan Merentasi Ideologi

Malaysia menonjolkan komitmen teguh dengan menghantar delegasi berprofil tinggi yang diketuai oleh Timbalan Menteri Sumber Asli & Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh yang merupakan Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, bersama barisan ahli parlimen merentasi parti politik.

Kehadiran Ahli Parlimen Balik Pulau (Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik), Ahli Parlimen Sik (Ahmad Tarmizi Sulaiman), dan Ahli Parlimen Kuala Krai (Abdul Latiff Abdul Rahman) melambangkan kesatuan politik negara dalam isu kemanusiaan ini.

Turut memperkukuhkan delegasi ialah pakar perundangan daripada Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) serta gabungan NGO kemanusiaan utama Malaysia termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Cinta Gaza Malaysia (CGM), Cinta Syria Malaysia (CSM), dan gagasan MyAqsaDefender.

Sumud: Aksi Laut yang Menagih Keberanian Sistemik

Albanese memberikan dimensi baharu kepada konsep Sumud. Jika selama ini ia dianggap sebagai ketabahan bertahan secara pasif, beliau mentakrifkannya sebagai satu gerakan ekosistem yang aktif dan berkejituan.

Beliau menegaskan bahawa keberanian para pejuang di laut melalui flotilla harus disambut dengan sistem sokongan darat terutamanya oleh ahli parlimen negara anggota EU untuk menembusi kepungan Gaza secara fizikal dan perundangan.

Clarion call ini adalah tuntutan agar para ahli parlimen berhenti terikat dengan kekangan diplomasi lama dan mula menggunakan kuasa perundangan mereka untuk menyekat saluran logistik serta pusat pengedaran yang membekalkan mesin perang.

Beliau mahukan aksi laut itu menjadi pemangkin kepada keruntuhan struktur apartheid melalui tekanan darat yang tersusun, agresif, dan bersatu.

Membebaskan Kekuatan ‘Angin’ Revolusi

Penegasan Albanese di hadapan ratusan penggubal undang-undang dunia itu adalah satu usaha untuk memastikan gerakan solidariti global tidak “dijinakkan” oleh prosedur antarabangsa yang sering kali melambatkan keadilan. Beliau mahu roh perjuangan ini kekal dinamik dan mempunyai ketepatan strategi yang tinggi tanpa kompromi.

“You cannot block the wind in a jar” (Anda tidak boleh menyekat angin di dalam balang).

Fransisca Albanese menghantar mesej jelas kepada dunia: Flotilla dan gerakan Sumud bukan sekadar simbol, tetapi satu “angin” perubahan yang tidak boleh disekat.

Kini, dengan penyertaan aktif delegasi Malaysia yang membawa suara Nusantara, beban pembuktian terletak di tangan diplomat dunia untuk memastikan naratif ini diterjemahkan kepada keberanian menembusi Gaza, sekali gus merobohkan tembok hipokrit diplomasi global yang selama ini membisu.