Selat Melaka kekal aman, Malaysia tegas tiada campur tangan kuasa luar

Selat Melaka/foto Bernama

KUALA LUMPUR, 23 April 2026 – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin menegaskan Selat Melaka kekal aman dan berada dalam keadaan terkawal, tanpa sebarang halangan kepada kapal melalui perairan strategik tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan mengenai Selat Melaka mesti dipersetujui bersama oleh Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.
  • Negara serantau mempunyai keupayaan mencukupi untuk mengawal keselamatan perairan masing-masing; tiada keperluan campur tangan kuasa luar.
  • Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand melaksanakan rondaan bersama serta konsensus bagi memastikan keselamatan laluan perkapalan yang sibuk.

Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan Selat Melaka perlu dipersetujui secara bersama oleh negara serantau iaitu Malaysia, Indonesia, Singapore dan Thailand.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin/Foto Bernama

Menurut beliau, negara-negara di rantau ini mempunyai keupayaan mencukupi untuk mengawal keselamatan perairan masing-masing.

“Tidak ada sebab untuk mana-mana negara, sama ada kuasa kecil atau kuasa besar, menyatakan hasrat untuk mengawal Selat Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Menteri Luar, Mohamad Hasan sebelum ini menegaskan tiada keputusan unilateral boleh dibuat berhubung Selat Melaka, sebaliknya perlu berasaskan konsensus serantau.

Beliau berkata, Malaysia bersama Singapore, Indonesia dan Thailand berkongsi persefahaman kukuh serta melaksanakan rondaan bersama bagi memastikan keselamatan laluan tersebut yang merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia.