Keadilan dan kebersamaan teras sambutan Vaisakhi dalam pupuk perpaduan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 April -Semangat kebersamaan dan keadilan yang menjadi teras kepada sambutan Vaisakhi merupakan elemen penting dalam memupuk kesedaran serta memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Vaisakhi menghormati warisan budaya dan mencerminkan sokongan rakyat Malaysia terhadap nilai-nilai murni yang menguatkan negara.
  • Perdana Menteri menegaskan kepelbagaian Malaysia satu keunikan yang mesti dihargai untuk mengekalkan perpaduan nasional.
  • Peruntukan RM500,000 diumumkan bagi menyokong aktiviti dan keraian komuniti Sikh di Malaysia.
  • Penghargaan tinggi kepada komuniti Sikh atas sumbangan lama mereka dalam membentuk identiti dan pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perayaan komuniti Sikh itu bukan sekadar menghormati warisan budaya, malah ia merupakan manifestasi sokongan rakyat Malaysia terhadap nilai-nilai murni yang menjadi asas kekuatan negara bangsa.

Beliau menekankan bahawa kepelbagaian yang wujud di Malaysia adalah satu keunikan yang perlu dihayati bagi memastikan semangat perpaduan nasional terus subur.

“Apabila kita menyambut Vaisakhi, kita bukan sahaja menghormati satu tradisi yang amat bermakna, tetapi lebih penting lagi adalah semangat saling menyokong antara satu sama lain.

“Ini kerana anda sebenarnya sedang mewujudkan kesedaran mengenai kesedaran yang kental, kebersamaan dan keadilan yang amat penting dalam memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya ketika menghadiri majlis tersebut di ibu negara, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, Baldev Singh.

Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM500,000 bagi menyokong pelbagai aktiviti serta keraian komuniti Sikh di Malaysia.

Sumbangan berkenaan sebagai pengiktirafan kepada peranan mereka dalam pembangunan negara.

Beliau turut menzahirkan penghargaan tinggi terhadap komuniti Sikh yang telah lama memainkan peranan penting dalam mencorakkan identiti nasional melalui penglibatan aktif dalam pelbagai sektor.