
SEREMBAN, 18 April – Kesiapsiagaan rakyat menerusi penguasaan literasi ekonomi dan disiplin kewangan yang tinggi menjadi faktor penentu dalam mendepani cabaran krisis tenaga global serta ketidaktentuan rantaian bekalan dunia ketika ini.
- Tingkatkan literasi ekonomi dan disiplin kewangan untuk kawal perbelanjaan serta komitmen isirumah.
- Fahami faktor harga barang: kos logistik, insurans dan risiko geopolitik, bukan hanya harga minyak mentah.
- Amalkan kesiapsiagaan seluruh masyarakat: sesuaikan gaya hidup, kurangkan hutang berlebihan dan sediakan dana kecemasan.
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Dr Mazlan Che Soh berkata masyarakat perlu dididik untuk menyesuaikan corak perbelanjaan dan mengawal komitmen kewangan mengikut keperluan bagi membina ketahanan isirumah yang mampan.
Menurut beliau, pemahaman rakyat mengenai faktor yang mempengaruhi harga barangan adalah penting memandangkan ia tidak lagi bergantung kepada trend harga minyak mentah semata-mata, sebaliknya dipengaruhi kos logistik dan risiko geopolitik.
“Rakyat perlu diberi penerangan atau rakyat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap literasi ekonomi memandangkan harga barang bukan hanya bergantung kepada trend ‘rank crude oil’ semata-mata tetapi juga ada faktor-faktor lain yang mempengaruhi harga barang seperti peningkatan kos logistik, insurans disebabkan risiko perang dan rangkaian bekalan.”
“Jadi, disiplin kewangan dengan fokus kepada household resilience (kesiapsiagaan isirumah). Ketahanan perbelanjaan isirumah itu sangat penting. Kita sendiri kena kawal komitmen kewangan kita”, katanya ketika ditemubual RTM disini.
Dr. Mazlan turut menekankan kepentingan mengadaptasi konsep ‘kesiapsiagaan seluruh anggota masyarakat’ (whole of society resilience), iaitu tanggungjawab mendepani krisis tidak seharusnya diletakkan di bahu kerajaan semata-mata.
Beliau menyarankan agar pengguna mula menyesuaikan gaya hidup, termasuk dalam aspek penggunaan tenaga dan pemakanan, selain mengelakkan tabiat berhutang secara berlebihan demi memastikan ketersediaan dana kecemasan.
“Ini tentu sekali memerlukan adaptasi di kalangan pengguna dan rakyat hendaklah bersedia menyesuaikan corak perbelanjaan mereka termasuklah dari segi tenaga dan makanan.”
Tegasnya, meskipun dalam situasi kritikal, rakyat Malaysia masih bernasib baik kerana dapat menikmati subsidi minyak RON 95 berbanding negara luar.
Sebagai langkah mitigasi terhadap tekanan ekonomi, beliau menyambut baik inisiatif kerajaan mengadaptasi kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor awam dan menggalakkan penyertaan sektor swasta mengurangkan kos mobiliti rakyat.