
KUALA LUMPUR, 18 April – Kerajaan masih meneruskan sesi libat urus dengan pelbagai pihak sebelum penguatkuasaan had umur 16 tahun bagi akaun media sosial dilaksanakan.
- Matlamat utama: melindungi keselamatan kanak-kanak dan keluarga di alam maya tanpa menyekat hak kebebasan bersuara.
- Cadangan mengehadkan pembukaan akaun individu untuk bawah 16 tahun; penggunaan akaun dengan pemantauan ibu bapa masih dibenarkan.
- Dasar akan diimbangkan dengan mengambil kira pandangan awam, berikutan peningkatan risiko jenayah terhadap kanak-kanak dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu bertujuan memberikan talimat, mendengar pandnagan serta manangani kebimbangan pelbagai pihak selain memastikan matlamat utama kerajaan untuk melindungi keselamatan kanak-kanak dan keluarga di alam maya tercapai.
“Hasrat kerajaan bukan untuk menyekat hak bersuara, tetapi untuk memastikan keselamatan kanak-kanak dan keluarga ketika menggunakan internet,” katanya.
Beliau menjelaskan, cadangan itu akan mengehadkan pembukaan akaun individu oleh kanak-kanak bawah 16 tahun, namun penggunaan akaun di bawah pemantauan ibu bapa masih dibenarkan.
Menurutnya, langkah itu diambil susulan peningkatan kes melibatkan kanak-kanak yang terdedah kepada risiko jenayah, termasuk interaksi dengan individu tidak dikenali melalui platform media sosial.
Datuk Fahmi turut merujuk kepada kes jenayah yang dilaporkan sebelum ini melibatkan seorang remaja menjadi mangsa selepas berkenalan dengan individu melalui aplikasi dalam talian, sebagai antara faktor yang mendorong keperluan dasar tersebut.
“Sekiranya terdapat pandangan, kebimbangan atau cadangan penambahbaikan, kita terbuka untuk mendengar dan mempertimbangkannya dalam pelaksanaan nanti,” katanya.
Beliau menegaskan, sebarang dasar yang dilaksanakan akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak bagi memastikan keseimbangan antara keselamatan pengguna muda dan hak penggunaan digital.
Langkah itu juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas kerajaan untuk mewujudkan ekosistem internet yang lebih selamat, khususnya bagi golongan kanak-kanak dan keluarga.