
KUALA LUMPUR, 18 April – Barisan Nasional akan mengekalkan formula pembahagian kerusi sedia ada bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
- Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan mengkaji penambahan dan pelarasan kerusi untuk rakan gabungan, termasuk Friends of BN.
- Jentera Barisan Nasional perlu bergerak lebih aktif menarik sokongan pengundi luar kerana sokongan ahli komponen semata-mata tidak mencukupi.
- MIC kekal sebagai parti teras BN; mereka tidak menyatakan keluar rasmi walaupun ada surat dihantar kepada Perikatan Nasional.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kajian terperinci akan dilaksanakan oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagi meneliti keperluan membuat pelarasan atau penambahan jumlah kerusi untuk rakan gabungan.
“Kita akan menyesuaikan serta menambah kerusi-kerusi yang diperlukan agar dapat diperuntukkan kepada rakan-rakan dalam Barisan Nasional, khususnya rakan-rakan dalam Friends of BN. Ini bagi membuktikan bahawa kebersamaan yang telah kita bina selama ini dapat diterjemahkan dalam bentuk pembahagian kerusi yang lebih bersesuaian dan adil kepada semua pihak yang terlibat, ” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) Kali Ke-46 bagi Tahun 2025 di sini, hari ini.
Tambah beliau, jentera Barisan Nasional (BN) perlu bergerak lebih aktif dalam usaha menarik sokongan pengundi luar, kerana sokongan daripada ahli parti komponen semata-mata tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan calon.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai kedudukan MIC dalam Barisan Nasional, beliau berkata parti itu kekal sebagai parti teras BN dan tidak pernah menyatakan hasrat untuk keluar secara rasmi.
“Setakat ini mereka adalah anggota atau parti teras dalam Barisan Nasional. Mereka tidak pun menyatakan untuk keluar daripada Barisan Nasional secara rasmi walaupun ada surat yang telah dihantar kepada Perikatan Nasional tetapi sebaliknya mereka menafikan bahawa mereka pernah memohon untuk menyertai parti berkenaan,” katanya lagi.