
KUALA LUMPUR, 18 April- Anak-anak Limbang yang berada di Semenanjung disaran memainkan peranan lebih aktif sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan di daerah berkenaan.
- Bina naratif digital dan gunakan platform media sosial untuk memperkenalkan budaya, potensi ekonomi serta menarik pelabur dan pelancong.
- Perkasa usahawan tempatan melalui penjenamaan, pemasaran digital dan akses pasaran untuk memacu perkembangan perusahaan kecil dan sederhana.
- Bina jaringan perniagaan dengan pasaran lebih besar dan bawa pulang pelaburan kecil yang memberi impak besar secara konsisten.
- Pembangunan infrastruktur termasuk projek SSLR2 dijangka membuka akses ke pedalaman dan merancakkan sektor pelancongan.
Ahli Parlimennya, Datuk Hasbi Habibollah berkata komuniti perantau memiliki kelebihan dari segi jaringan, pendedahan serta kepakaran yang boleh dimanfaatkan untuk memperkenalkan potensi Limbang kepada pasaran yang lebih luas.
“Anak-anak Limbang perlu menjadi duta kecil kepada daerah ini dengan menggunakan platform masing-masing sama ada media sosial, jaringan profesional atau komuniti untuk memperkenalkan keunikan budaya, potensi ekonomi serta peluang pelaburan di Limbang,” katanya.
Menurut beliau, dalam era digital masa kini, naratif yang dibina oleh komuniti sendiri mampu mempengaruhi persepsi pelabur dan pelancong terhadap sesuatu destinasi.
Datuk Hasbi berkata usaha memperkasa usahawan tempatan turut perlu diberi perhatian, khususnya dalam aspek penjenamaan, pemasaran digital dan akses pasaran.
Disyorkan
“Ramai dalam kalangan kita mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Salurkan ilmu tersebut bagi membantu usahawan tempatan berkembang, sekali gus mempercepat pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Limbang,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan membina jaringan perniagaan antara Limbang dan Semenanjung sebagai usaha mengintegrasikan ekonomi daerah itu dengan pasaran lebih besar.
“Anak perantau juga boleh memainkan peranan dengan membawa pulang pelaburan ke Limbang walaupun dalam skala kecil kerana ia mampu memberi impak besar sekiranya dilaksanakan secara konsisten,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata pembangunan infrastruktur termasuk projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2) dijangka membuka akses lebih luas ke kawasan pedalaman serta lokasi berpotensi tinggi, sekali gus merancakkan sektor pelancongan.
Tambah beliau, pemilihan Limbang sebagai destinasi pertama Program Sarawakku Sayang pada 10 April lalu mencerminkan pengiktirafan terhadap potensi daerah itu dalam agenda pembangunan negeri.
Datuk Hasbi berkata demikian pada Majlis Bedudun Raya Persatuan Anak-Anak Limbang Semenanjung (PAALS) di Dewan Perdana di sini, hari ini yang dihadiri kira-kira 500 warga Limbang di perantauan.
Majlis turut dihadiri Persatuan Rumah Sarawak, TRADA, Dayak Muslim Selangor, Pasar Borneo, PAKES, Persatuan Anak Borneo Semenanjung (ABS) dan Dangsanak Miri.
Setakat ini, PAALS merekodkan 344 ahli berdaftar di seluruh Semenanjung Malaysia, dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu 162 ahli, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (71), Negeri Sembilan (28), Johor (25), Perak (12), Putrajaya (9), Melaka (8) dan Kedah.