
SHAH ALAM, 18 April – Perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama merupakan prasyarat utama bagi membolehkan Malaysia mampu menghadapi cabaran semasa.
- Rakyat mesti bertekad mengetepikan perbezaan demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi negara.
- Kesatuan nasional dilihat kunci menjadikan Malaysia "Harimau Asia" dalam pemulihan ekonomi.
- Institusi keagamaan seperti gurdwara berperanan sebagai pusat bantuan inklusif, membuktikan perpaduan melalui tindakan ikhlas.
Jelas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, rakyat perlu mempunyai tekad yang kuat untuk mengetepikan segala perbezaan agama, kaum mahupun ideologi politik demi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha pemulihan negara.
“Saya yakin Malaysia akan menjadi ‘Harimau Asia’ dalam ekonomi semula apabila kita bersatu hati menghadapi kesusahan ini. Ketepikanlah perbezaan agama dalam kalangan kita, apatah lagi perbezaan politik, perbezaan kepentingan… sama-sama kita membantu kerajaan supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Vaisakhi di Gurdwara Sahib Guru Nanak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memuji peranan institusi keagamaan seperti gurdwara yang berfungsi lebih daripada sekadar tempat ibadat, sebaliknya bertindak sebagai pusat bantuan masyarakat yang inklusif tanpa mengira latar belakang.
“Bantuan yang diberikan tidak terhad kepada satu kaum sahaja, sebaliknya kepada semua yang memerlukan, termasuk ketika bencana.
“Ini membuktikan bahawa perpaduan bukan sekadar ungkapan, tetapi diterjemahkan melalui tindakan ikhlas oleh komuniti,” jelasnya.