
KUCHING, 18 April- Institusi keluarga perlu terus diperkukuh sebagai benteng utama dalam memastikan kebajikan warga emas terpelihara sekali gus mengelakkan isu pengabaian dalam kalangan masyarakat.
- Anak-anak mesti memainkan peranan menjaga ibu bapa dan mengukuhkan nilai kekeluargaan.
- Kerajaan melaksanakan inisiatif kebajikan serta program keibubapaan untuk membantu warga emas dalam situasi tertentu.
- Masyarakat diharap terus menghargai jasa dan tanggungjawab terhadap ibu bapa bagi membendung pengabaian.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata anak-anak memainkan peranan penting dalam menjaga ibu bapa selaras dengan nilai kekeluargaan yang perlu diperkukuh.
“Kami memberi keutamaan kepada institusi kekeluargaan untuk diperkukuhkan. Kami cuba membantu daripada pelbagai aspek termasuk program keibubapaan kerana kami tidak mahu institusi keluarga berpecah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sahabat Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Yayasan Kebajikan Negara di sini.
Menurutnya, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan bagi membantu warga emas dalam situasi tertentu, termasuk apabila anak-anak tidak mampu atau tidak bersedia untuk menjaga ibu bapa atas faktor peribadi dan lain-lain keadaan.
Dalam masa sama, Nancy berharap masyarakat terus menghargai jasa dan tanggungjawab terhadap ibu bapa bagi membendung isu pengabaian warga emas daripada terus berlaku.