PM beri amaran tegas kepada pimpinan PKR, arah Setiausaha Agung nilai prestasi

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan PKR Kelantan/RTM

KOTA BHARU, 18 April – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras terhadap kepimpinan parti di semua peringkat agar tidak leka dengan perbalahan remeh sehingga mengabaikan tanggungjawab sebenar dalam membela nasib rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Setiausaha Agung diberi kuasa penuh untuk menilai prestasi pemimpin memastikan kelangsungan dan relevansi perjuangan parti.
  • "Ketua Cabang kalau malas nak bermesyuarat, ambil cuti sekarang" menegaskan tanggungjawab dan disiplin kepimpinan.
  • PKR bukan milik individu atau kelompok, ia wadah perjuangan yang memerlukan komitmen tinggi setiap ahli.
  • Semua jentera digesa merapatkan barisan dan mengetepikan perbezaan demi fokus gerak kerja menghadapi PRU akan datang.

Beliau yang juga Perdana Menteri menyelar segelintir pemimpin yang dikesan hanya menunjukkan semangat ketika musim pemilihan dan perebutan jawatan.

Namun bersikap culas dalam melaksanakan tanggungjawab setelah memenangi jawatan.

Tegas beliau, Setiausaha Agung PKR kini diberikan kuasa penuh untuk menilai prestasi setiap pemimpin bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti kekal relevan.

“Ketua Cabang ini kalau malas nak bermesyuarat, ambil cuti sekarang. Setuju atau tidak? Setiausaha Agung diberi kuasa penuh untuk menilai. Nak pimpin, buat cara pemimpin.

“Negara memerlukan rakyat dan kepimpinan yang sedar, mahu membela nasib rakyat yang bekerja ikhlas untuk angkat martabat negara,” katanya ketika berucap pada Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026 di sini, hari ini.

Anwar turut mengingatkan bahawa PKR bukanlah milik individu atau kelompok tertentu, sebaliknya merupakan sebuah wadah perjuangan milik rakyat yang menuntut komitmen tinggi daripada setiap ahlinya.

Beliau menggesa seluruh jentera parti untuk merapatkan barisan dan mengetepikan segala perbezaan pendapat demi memfokuskan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut beliau, setiap pemimpin perlu memiliki kesedaran tinggi untuk berkhidmat secara jujur dan tidak menjadikan jawatan dalam parti sebagai alat untuk kepentingan peribadi, sekali gus memastikan martabat negara terus diperkukuh.