Pendakwah bebas disyaki seleweng dana NGO RM12.3 juta direman lima hari

Foto SPRM

SEREMBAN, 22 April – Seorang pendakwah bebas direman lima hari hingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa dan menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perintah reman dikeluarkan di Mahkamah Majistret Seremban.
  • Pengarah SPRM Negeri Sembilan mengesahkan penahanan suspek ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM sekitar pukul 8 malam.
  • Siasatan awal mendapati suspek, yang juga pengerusi NGO, disyaki menyalahgunakan kedudukan sejak September 2022 dengan dua ahli jawatankuasa.
  • SPRM membekukan 15 akaun bernilai kira-kira RM16.5 juta; 51 keping emas dan pelbagai barangan turut disita. Kes disiasat di bawah Seksyen 23.

Perintah reman itu dikeluarkan di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi.

Terdahulu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an itu pada pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.

Siasatan awal mendapati suspek yang juga pengerusi NGO berkenaan, disyaki melakukan perbuatan tersebut sejak September 2022 hingga kini.

“Suspek dipercayai telah menyalahgunakan kedudukannya dan bersubahat dengan dua ahli jawatankuasa lain untuk memindahkan kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun bank miliknya serta beberapa syarikat yang juga miliknya,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM Negeri Sembilan juga membekukan 15 akaun yang terdiri daripada tiga akaun bank persendirian, tiga akaun bank NGO dan sembilan akaun bank syarikat dengan nilai keseluruhan kira-kira RM16.5 juta.

Beberapa barangan turut dirampas, termasuk wang tunai, mata wang asing serta barangan kemas seperti jam tangan, beg, gelang, cincin dan rantai.

Turut disita, 51 keping emas seberat satu gram dengan anggaran nilai kira-kira RM31,000.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.