
MIRI, 22 April- Dua remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Pan Borneo dekat Suai berhampiran simpang Jalan Alam Bumi, di sini, Isnin lalu.
- Siasatan awal mendapati kereta dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal yang dinaiki mangsa.
- Penunggang dan pembonceng dikejarkan ke Hospital Miri; kedua-duanya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
- Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan ditahan di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) kerana memandu secara melulu; orang ramai diminta tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 7.45 malam itu melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa bersama seorang pembonceng, serta sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 32 tahun.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta yang datang dari arah Miri menuju ke Bintulu dipercayai telah melanggar bahagian belakang motosikal dinaiki kedua-dua mangsa.
“Penunggang dan pembonceng motosikal yang mengalami kecederaan serius telah dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.
“Namun penunggang disahkan meninggal dunia pada pukul 2.30 petang, manakala pembonceng meninggal dunia pada pukul 5.44 petang hari sama ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membantu siasatan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) akta sama kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp. Mohd Faizul Ab. Rahim di talian 014-8582582 atau 085-430479, atau mana-mana balai polis berhampiran.