Op Mahir tahan 62 warga asing sekitar Shah Alam, Puchong

Foto: JIM

KUALA LUMPUR, 22 April- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesan taktik penyalahgunaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sebagai modus operandi utama dalam kegiatan menggaji pekerja asing secara tidak sah, sekali gus menunjukkan kemungkinan penglibatan majikan yang ingkar dan tidak bertanggungjawab.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Mahir dijalankan di sekitar Shah Alam dan Puchong.
  • Dua premis diperiksa melibatkan 112 individu semasa operasi.
  • 62 pendatang tanpa izin ditahan; 56 Bangladesh, 4 Nepal, 1 India, 1 Indonesia.
  • Kesalahan: tiada dokumen pengenalan, tinggal lebih masa dan salah guna pas; ditahan di depot untuk tindakan lanjut.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata perkara itu dibongkar susulan operasi penguatkuasaan bersepadu, Op Mahir yang dilaksanakan di sekitar Shah Alam dan Puchong pada Selasa.

Beliau berkata siasatan awal mendapati warga asing yang ditahan berselindung di sebalik PLKS milik syarikat lain bagi mengaburi pihak berkuasa, selain dikesan bekerja di premis berbeza daripada majikan asal yang didaftarkan.

“Tindakan ini bukan sahaja melanggar syarat permit yang ditetapkan, malah mencerminkan cubaan terancang untuk mengeksploitasi sistem sedia ada demi kepentingan tertentu.

“JIM tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian yang lebih besar dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengesan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini

Dalam operasi itu, Datuk Zakaria berkata sebanyak dua premis telah diperiksa melibatkan 112 individu.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh, JIM menahan 62 pendatang tanpa izin melibatkan 56 warga Bangladesh, empat warga Nepal dan masing-masing seorang warga India serta Indonesia atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya.

Datuk Zakaria berkata antara kesalahan utama yang dikenal pasti termasuk ketiadaan dokumen pengenalan diri yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama, serta salah guna pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, beliau berkata tiga saman kepada saksi (Borang 29) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut, manakala semua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih dan KLIA untuk proses dokumentasi dan tindakan undang-undang seterusnya.

Operasi semalam dijalankan dengan kekuatan 66 pegawai imigresen serta disokong oleh 12 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan tumpuan mengesan dan membanteras kehadiran pendatang tanpa izin khususnya di sektor perindustrian dan logistik yang dikenal pasti berisiko tinggi.