
SERI KEMBANGAN, 23 April – Polis menahan tiga lelaki dan merampas 5,111 karton rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup bernilai RM1.28 juta dalam serbuan Op Taring Alpha 1 di sebuah rumah di Taman Sri Serdang, semalam.
- Umur suspek antara 34 hingga 43 tahun, seorang bertindak sebagai penyelia.
- Operasi mematahkan sindiket penyimpanan, pengedaran dan penjualan rokok tanpa cukai di sekitar Lembah Klang hingga ke luar negara.
- Semua rokok ditemui di ruang tamu, bilik dan stor; suspek serta barang dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang untuk siasatan lanjut.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata kesemua suspek berusia antara 34 hingga 43 tahun, dengan seorang daripadanya bertindak sebagai penyelia.
“Operasi ini berjaya mematahkan sindiket penyimpanan, pengedaran dan penjualan rokok tanpa cukai kastam di sekitar Lembah Klang hingga ke luar negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, rokok berkenaan ditemukan di seluruh rumah termasuk di ruang tamu, bilik dan stor.
Katanya, semua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.