Pasangan kekasih edar dadah RM16.2 juta diberkas

Foto PDRM

KUCHING, 23 April – Sepasang kekasih dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada 21 April lalu kerana dituduh membungkus dan mengedar pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM16.2 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasangan ditahan di rumah inap desa Kampung Santubong pada 7 April; polis rampas 97kg campuran syabu dan MDMA serta ketamin 1,283 gram.
  • Siasatan: bekalan dari Semenanjung dihantar melalui kurier; kedua-dua suspek sebagai pembungkus dan pengedar, dibayar RM3,000 sebulan.
  • Mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup, tujuh pertuduhan di bawah Seksyen 39B, 39A(1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mereka masing-masing berumur 31 dan 41 tahun berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata pasangan itu ditahan di sebuah rumah inap desa di Kampung Santubong pada 7 April lepas.

Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk 97 kilogram campuran syabu dan MDMA.

“Ketamin anggaran berat 1,283 gram, 180 gram eramin five, 102 gram pil ecstasy dan syabu dengan anggaran berat 28 gram dirampas termasuk pelbagai peralatan pengedaran bahan terlarang itu,” katanya.

Siasatan polis turut mendapati bekalan dadah berkenaan diperolehi dari Semenanjung Malaysia dan dihantar melalui perkhidmatan kurier.

“Peranan kedua-dua suspek sebagai pembungkus dan pengedar dengan bayaran diterima sebanyak RM3,000 sebulan. Setiap paket dijual RM5,” katanya dalam sidang media di IPK Sarawak di sini.

Tegas beliau, rampasan itu telah memutuskan rantaian dadah di sekitar selatan Sarawak.

Polis masih lagi memburu saki-baki sindiket pengedaran yang dipercayai mula aktif pada awal bulan ini.

Pasangan itu berdepan 7 pertuduhan di bawah Seksyen 39B, 39A (1) dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.