Kelindan lori mengaku bersalah dera kanak-kanak hingga mati

Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 23 April – Seorang kelindan lori berdepan hukuman penjara 30 tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki pada 11 April lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
  • Didakwa menyebabkan kematian Muhammad Adamdanial Abdul Khafidh, umur 4, di Kampung Banggol Katong.
  • Didakwa mengikut Seksyen 304(a) dan turut dihadapkan pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
  • Pendakwaan oleh Nur Aisyah Mohamad; tertuduh tidak diwakili; mahkamah tolak jamin dan tetapkan hukuman 29 April.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Zamri membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan sehingga menyebabkan kematian Muhammad Adamdanial Abdul Khafidh, 4, di Kampung Banggol Katong di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa menggunakan sebatang rotan di lokasi dan masa yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 April ini sebagai tarikh hukuman.