KPDN sita 680 liter diesel di kilang gula batu

Antara minyak diesel yang disimpan tanpa kebenaran / Foto KPDN Perak

IPOH, 11 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita kira-kira 680 liter minyak diesel yang disyaki disimpan tanpa kebenaran sah dalam serbuan Op Tiris 4.0 Bersepadu di sebuah kilang memproses gula batu di Kawasan Perindustrian Pangkalan, Lahat, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi melibatkan KPDN bersama Imigresen, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, MBI dan SSM Perak.
  • Premis didapati menyimpan minyak diesel sebagai barang kawalan tanpa kebenaran sah.
  • Pengurusan gagal mengemukakan dokumen, mendakwa diesel untuk operasi kilang dan kegunaan persendirian.
  • KPDN menyita beberapa tong dram dan dokumen untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta meneruskan Op Tiris 4.0.

Operasi yang dijalankan kira-kira pukul 11.30 pagi itu turut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menyimpan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel tanpa kebenaran.

Menurut beliau, pihak pengurusan premis memaklumkan diesel berkenaan digunakan bagi tujuan operasi kilang serta kegunaan persendirian.

“Bagaimanapun, pihak premis gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran sah bagi penyimpanan minyak diesel tersebut, menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, KPDN menyita kira-kira 680 liter cecair yang disyaki minyak diesel bersama empat unit tong dram serta beberapa dokumen berkaitan untuk tujuan siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM3,000.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

KPDN menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan menerusi Op Tiris 4.0 bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi di negeri ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.