
NIBONG TEBAL, 11 Jun – Seorang lelaki etnik Rohingya warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki senegaranya dalam kejadian di Taman Belibis, Simpang Ampat pada 31 Mei lalu.
- Didakwa membunuh rakan senegaranya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- Didakwa mengikut Seksyen 324 kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan pisau terhadap seorang wanita Rohingya.
- Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin; sebutan semula kedua-dua kes ditetapkan pada 7 Ogos.
- Dua wanita Rohingya dihadapkan, didakwa mengikut Akta Imigresen; lantikan jurubahasa Myanmar ditetapkan pada 23 Jun.
Tertuduh, Osman Bawdi Alom, 38, didakwa membunuh Abdul Rahman Shah Mia di sebuah rumah di Lorong Belibis 14 antara pukul 2.50 petang hingga 2.54 petang.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, Osman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan sebilah pisau terhadap seorang wanita Rohingya, Formin Lal Mia, yang dipercayai isteri mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi serta waktu yang sama.
Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh diwakili peguam G. Sathiash.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes.
Turut dihadapkan ke mahkamah sama ialah dua wanita Rohingya, dikenali dengan nama Humaira Abd Gadir, 18, dan Minara Lal Miah, 29 yang merupakan isteri dan adik ipar tertuduh.
Mereka didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki atau berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.
Bagaimanapun, Nurul Aininna menangguhkan kes kepada 23 Jun untuk lantikan jurubahasa Myanmar selepas kedua-dua tertuduh memberitahu mereka tidak memahami Bahasa Malaysia.