
GEORGE TOWN, 11 Jun – Sebuah syarikat logistik dan penghantaran barang serta dua pengarahnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mengemukakan dokumen berkaitan yang diminta pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
- Pengarah Ami Logistics, Shaik Zamry Shaik Kamal Farid (61) dan Abdul Mutalib Ismail (45) mengaku tidak bersalah.
- Didakwa gagal mengemukakan dokumen mengikut Seksyen 57(2) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.
- Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 57(4)(a) akta yang sama.
- Kes didakwa berlaku di Kompleks Kastam Seberang Jaya pada 17 Disember 2024; sebutan semula ditetapkan 21 Julai.
Pengarah syarikat Ami Logistics (Penang) Sdn Bhd, Shaik Zamry Shaik Kamal Farid, 61 tahun, dan Abdul Mutalib Ismail, 45 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa gagal mengemukakan dokumen berkaitan mengikut Seksyen 57(2) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang diminta pegawai kastam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 57(4)(a) akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan Audit Import dan SST, Bahagian Pematuhan Kompleks Kastam Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah pada 17
Disember 2024.
Mahkamah menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.