
BETONG, 11 Jun- Seorang lelaki maut manakala anaknya cedera parah selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan kendiri di pusingan U Tanjung Skrang, di sini, tengah hari tadi.
- JBPM terima panggilan kecemasan pada 1.46 tengah hari; Balai Bomba dan Penyelamat Betong dikerahkan ke lokasi.
- Kenderaan kompak terbabas dan melanggar pembahagi jalan di pusingan U, mengakibatkan dua lelaki dewasa tersepit.
- Pemandu Liang Sait, 64, disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM; anaknya Stanley, 30, cedera parah dan dikeluarkan oleh bomba.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.46 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerahkan ke lokasi.
Sebaik tiba, pasukan penyelamat mendapati sebuah kenderaan kompak terbabas dan melanggar pembahagi jalan di kawasan pusingan U berkenaan.
Perlanggaran itu mengakibatkan dua lelaki dewasa tersepit di dalam kenderaan.
Pemandu kenderaan, Liang Sait, 64, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Anaknya, Stanley Embawa Liang, 30, yang merupakan penumpang kenderaan tersebut mengalami kecederaan parah.
Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk menerima rawatan lanjut.
Mayat mangsa pula diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya.
Punca kemalangan masih dalam siasatan.