JIM Kedah hantar pulang 94 PATI, disenarai hitam masuk Malaysia

94 pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 / Foto ihsan JIM Kedah

ALOR SETAR, 11 Jun – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menghantar pulang 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal masing-masing menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sebagai sebahagian daripada program penghantaran pulang warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesemua PATI terdiri daripada 82 lelaki dan 12 wanita dari Bangladesh, China, Mesir, Kenya, India, Pakistan dan Myanmar.
  • Ditahan kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
  • Mereka telah selesai menjalani hukuman dan proses perundangan sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.
  • Disenaraihitamkan dan tindakan penguatkuasaan berterusan dijalankan untuk menghalang kemasukan semula serta menjaga keselamatan negara.

JIM Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua PATI terbabit terdiri daripada 82 lelaki dan 12 wanita yang sebelum ini ditempatkan di Depot Imigresen Belantik, Sik; melibatkan warganegara Bangladesh, China, Mesir, Kenya, India, Pakistan dan Myanmar.

Menurut kenyataan itu, kesemua PATI terbabit ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, termasuk memasuki Malaysia tanpa pas atau permit yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Kesemua mereka telah selesai menjalani hukuman dan proses perundangan yang ditetapkan sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Sebagai sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berterusan, mereka turut disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia bagi menghalang kemasukan semula ke negara ini pada masa hadapan.

Menurut JIM Kedah, program penghantaran pulang itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen serta memastikan setiap warga asing yang berada di Malaysia mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Jabatan itu turut menegaskan akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.