
PASIR MAS, 10 November – Enam lelaki, termasuk tiga warga Thailand, ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas menemui 800 gram daun disyaki ketum dalam sebuah kereta di sebuah stesen minyak di Gual Tinggi, Rantau Panjang, semalam.
- Penahanan dilakukan oleh anggota Strike Force Kompeni C, Batalion 7 PGA Kuantan semasa rondaan Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan tanggungjawab.
- Pemeriksaan menemui beg kain dan bungkusan plastik mengandungi daun kering kehijauan dipercayai daun ketum berhampiran brek tangan kenderaan.
- Kes dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pasir Mas dan disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Kesemua mereka yang berusia antara 22 hingga 60 tahun ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, penahanan dilakukan anggota Strike Force Kompeni C, Batalion 7 PGA Kuantan ketika rondaan di sekitar kawasan tanggungjawab Rantau Panjang.
“Pemeriksaan terhadap sebuah kereta berwarna perak yang dinaiki enam lelaki itu menemukan satu beg kain di bahagian hadapan kenderaan, berhampiran brek tangan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi daun kering kehijauan yang dipercayai daun ketum.
“Kesemua tangkapan bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Selain 800 gram daun disyaki ketum bernilai RM32, sebuah kereta dianggarkan bernilai RM5,000 turut dirampas, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM5,032.