
KUALA TERENGGANU, 19 Julai – Seorang juruelektrik kerugian RM150,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud awal bulan ini.
- Pada 3 Julai mangsa menerima mesej WhatsApp daripada suspek wanita yang menawarkan skim pelaburan tidak wujud.
- Suspek memberi pulangan awal kecil untuk meyakinkan mangsa sebelum menawarkan pakej pelaburan lebih besar.
- Mangsa membuat beberapa transaksi antara 8 hingga 16 Julai; akaun pelaburan dibekukan selepas pembayaran.
- Suspek meminta bayaran tambahan untuk mengaktifkan semula akaun; mangsa membuat laporan polis, disiasat mengikut Seksyen 420.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata pada 3 Julai lepas lelaki berusia 48 tahun itu menerima mesej daripada suspek wanita yang menawarkan skim pelaburan melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, suspek memujuk mangsa agar menyertai skim pelaburan tersebut yang didakwa mampu menjana keuntungan besar dalam tempoh singkat.
“Pada awalnya suspek mengarahkan mangsa membuat lima pelaburan awal dan memberi pulangan keuntungan seperti yang dijanjikan. Ia bagi meyakinkan mangsa bahawa skim tersebut adalah sah dan benar-benar mendatangkan keuntungan.
“Suspek kemudiannya menawarkan pakej pelaburan lebih besar iaitu modal sebanyak RM100,000 dengan bonus keuntungan kira-kira RM70,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
ACP Azli memaklumkan mangsa kemudian telah membuat pelaburan sebanyak RM150,000 melalui empat transaksi ke empat akaun berbeza dari 8 hingga 16 Julai lepas.
Bagaimanapun setelah bayaran dibuat mangsa bukan sahaja gagal mendapatkan bonus keuntungan yang dijanjikan malah akaun pelaburannya turut dibekukan.
“Suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan bagi membolehkan akaun pelaburannya diaktifkan semula dan wang bonus dikeluarkan.
“Mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis pada 5.07 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA