
LIMBANG, 19 Julai – Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup 240 kilogram (kg) tongkeng ayam melalui laluan sungai di kawasan sempadan berjaya dipatahkan Batalion Kesembilan Rejimen Sempadan (9 RS) dalam operasi awal pagi semalam.
- Anggota 9 Briged mengesan sebuah Proton Saga mencurigakan semasa rondaan rutin sekitar pukul 4.30 pagi.
- Pemeriksaan menemukan 20 kotak berisi tongkeng ayam yang dipercayai cuba diseludup keluar melalui laluan air.
- Semua barangan dan kenderaan disita, kemudian diserahkan kepada KPDN Cawangan Limbang untuk tindakan undang-undang.
- Panglima 9 Briged memuji kecekapan anggota dan menegaskan usaha memperkukuh kawalan sempadan bagi mengekang penyeludupan.
Rampasan itu dilakukan menerusi operasi di bawah Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) selepas mengesan sebuah kereta Proton Saga dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan rutin kira-kira pukul 4.30 pagi.
Jurucakap 9 Briged dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 20 kotak berisi barang basah berupa tongkeng ayam yang dipercayai cuba diseludup keluar melalui laluan air.
“Kesemua bekalan basah berkenaan disita bersama sebuah kereta Proton Saga. Semua barangan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Limbang untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Jafri Sulaiman memuji kecekapan dan kesiapsiagaan anggota 9 RS yang berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan berkenaan.
Beliau berkata, Tentera Darat Malaysia akan terus memperkukuh kawalan di kawasan sempadan bagi mengekang kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.