Pokok tumbang hempap kereta di jalan Tun Razak

Foto BOMBA

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandunya dihempap pokok tumbang dalam kejadian berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.11 malam; BBP Jalan Tun Razak dikerahkan.
  • Lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dikerahkan untuk menjalankan operasi menyelamat.
  • Mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 10.47 malam, dilaporkan mengalami kecederaan parah pada badan dan kaki.
  • Mangsa diserahkan kepada ambulans APM untuk dihantar ke HKL; operasi tamat sepenuhnya pada 11.24 malam dan kes diserahkan polis.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.11 malam sebelum mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak ke lokasi.

Menurut Komander Operasi, PBK I Mohd Rohafizam Othman, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dikerahkan bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebatang pokok tumbang telah menghempap sebuah kereta jenis Honda Accord. Terdapat seorang mangsa berada di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa, lelaki berusia 43 tahun, berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba pada pukul 10.47 malam.

Beliau dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kaki sebelum diserahkan kepada ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi rawatan lanjut.

Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.24 malam dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.