
RANTAU PANJANG, 18 Julai – Seorang lelaki tempatan, berusia 20 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen yang sah untuk membawa 350 kilogram buah durian menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di Pengkalan Haram Abe Li Posmen di sini, pagi tadi.
- Pemeriksaan kenderaan mendapati muatan durian; suspek ditahan dan kenderaan serta muatan dirampas untuk membantu siasatan.
- Suspek mendakwa diarahkan majikan mengambil tempahan durian dan menghantarnya ke lokasi jualan di daerah Pasir Puteh.
- Rampasan dianggarkan bernilai RM51,750 diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan; kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Ahmad Radzi Hussain berkata suspek ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi selepas pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah pacuan empat roda yang dinaiki suspek.
Beliau berkata pemeriksaan menemukan 350 kilogram buah durian di bahagian belakang kenderaan berkenaan.
“Suspek bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berkaitan pengangkutan buah tersebut.
“Suspek kemudian ditahan bagi membantu siasatan manakala kenderaan dan muatan buah durian turut dirampas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, siasatan awal mendapati suspek memaklumkan hanya diarahkan oleh majikannya untuk mengambil buah durian yang telah ditempah, sebelum bertindak menghantarnya ke sebuah lokasi jualan di daerah Pasir Puteh.
“Suspek turut memberitahu durian berkenaan dimuatkan ke dalam kenderaanya oleh beberapa individu di tebing sungai berhampiran pengkalan haram,” jelasnya lagi.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM51,750 selain kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
PGA menegaskan pihaknya akan terus mempergiat pemeriksaan dan pemantauan di kawasan pengkalan haram, sekali gus membanteras salah laku jenayah di sekitar kawasan terbabit.