
KUALA LUMPUR, 29 September – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELDA Investment Corporation (FIC), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan berkaitan projek penilaian harga pasaran 24 tanah milik FELDA, pada 12 tahun lalu.
- Didakwa menipu Lembaga Pengarah FIC mengenai kelayakan Synergy Promenade, menyamar layak sebagai Master Developer walau layak sebagai Master Planner.
- Didakwa memperdaya Lembaga tentang nilai pasaran tanah, lapor RM330.96 juta sedangkan nilai sebenar RM691.7 juta.
- Mahkamah membenarkan ikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin; pendakwaan memohon jaminan lebih tinggi.
- Kes sebahagian daripada siasatan SPRM terhadap FELDA dan FIC, fokus kepada pembelian serta pelaburan aset 2010 hingga 2020.
Mohd Zaid Abdul Jalil, 55, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Zaid didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah FIC supaya mempercayai Synergy Promenade Sdn Bhd layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Developer bagi projek berkenaan.
Sedangkan, tertuduh dipercayai mengetahui syarikat itu hanya layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Planner.
Perbuatan itu didakwa mendorong Lembaga Pengarah FIC meluluskan pelantikan Synergy Promenade sebagai Master Developer, yang menurut pertuduhan tidak akan diluluskan sekiranya mereka tidak diperdayakan.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zaid didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah FIC berhubung nilai pasaran 24 lot tanah milik FELDA yang akan dibangunkan secara komersial.
Beliau didakwa menyebabkan Lembaga Pengarah mempercayai nilai pasaran tanah berkenaan ialah RM330.96 juta, berdasarkan laporan Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd.
Bagaimanapun, tertuduh didakwa mengetahui nilai sebenar yang dilaporkan syarikat berkenaan ialah RM691.7 juta.
Pertuduhan itu turut menyatakan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada awalnya memberikan anggaran nilai pasaran RM180 juta, namun tertuduh mengetahui JPPH tidak pernah memberikan anggaran berkenaan kepada FELDA.
Perbuatan itu didakwa mendorong Lembaga Pengarah menerima tawaran Synergy Promenade berdasarkan Minimum Guaranteed Return RM500 juta atau 10 peratus daripada Gross Development Value, mengikut mana lebih tinggi.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Kuala Lumpur, masing-masing pada 16 Januari dan 29 April 2014.
Mohd Zaid didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Shah Ab Razak memohon jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Pihak pendakwaan turut memohon tertuduh melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, dengan alasan anak guamnya mempunyai masalah kewangan selain memberikan kerjasama sepanjang siasatan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan.
Kes itu merupakan sebahagian daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap FELDA dan FIC.
SPRM sebelum ini membuka enam kertas siasatan baharu berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, FIC.
Siasatan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) itu merupakan sebahagian daripada tujuh kertas siasatan membabitkan FELDA dan FIC, termasuk satu siasatan lama.
Siasatan berkenaan memberi tumpuan kepada pembelian dan pelaburan aset oleh FELDA serta FIC antara 2010 hingga 2020, yang disyaki mempunyai unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Oktober depan.