Banjir kilat: Kira-kira 100 kenderaan ditenggelami air

Tangkap layar video awam menunjukkan keadaan banjir kilat di sekitar Petaling Jaya.

PETALING JAYA, 18 Julai – Kira-kira 100 kenderaan ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat yang melanda kawasan Medan Selera Jalan 223, di sini, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bomba tiba dalam kira-kira 10 minit, memantau keadaan ketika paras air surut; tiada mangsa dilaporkan cedera.
  • Paras air dilaporkan mencecah kira-kira lima kaki, mengakibatkan kerosakan harta benda dan peralatan perniagaan.
  • Banjir berulang memberi kesan serius; peniaga mohon MBPJ lanjutkan bantuan sewa premis sehingga Disember untuk meringankan beban.

Pegawai Bomba Kanan I merangkap Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, Abdul Rahmad Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.55 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian bersama tujuh anggota dan dua jentera.

“Ketika bomba tiba di lokasi, paras air sedang surut dan anggota menjalankan pemantauan bagi memastikan semua mangsa berada dalam keadaan selamat.

“Berdasarkan maklumat pemilik premis, kedalaman air ketika banjir mencecah kira-kira lima kaki di kawasan medan selera berkenaan.

“Selain kira-kira 100 kenderaan yang dianggarkan ditenggelami air, kejadian itu turut mengakibatkan kerosakan harta benda milik peniaga termasuk peralatan dan kelengkapan perniagaan,” katanya kepada pemberita RTM.

Beliau turut memaklumkan insiden berkenaan merupakan kejadian banjir kali ketiga direkodkan di kawasan itu sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera.

Sementara itu, banjir berulang yang melanda Medan Selera Jalan 223, turut memberi kesan kepada operasi perniagaan apabila peniaga terpaksa menanggung kerugian setiap kali kejadian berlaku.

Seorang peniaga, Farahanim Ahmad berkata, banjir kali ini merupakan kejadian kelima yang dialaminya dan kerosakan yang ditanggung amat besar.

“Kerosakan yang dialami memang tidak dapat dibayangkan. Bagi kami sebagai peniaga, ini sudah kali kelima kejadian banjir berlaku,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Nadzri Mat Ali berharap Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dapat meneruskan bantuan kepada peniaga yang terjejas, termasuk melanjutkan bantuan sewa premis sehingga Disember bagi meringankan beban mereka.

“Saya merayu kepada pihak MBPJ agar dapat meneruskan bantuan bagi meringankan beban kami, termasuk melanjutkan bantuan sewa kedai sehingga Disember kerana kami mengalami kerugian yang besar akibat banjir ini,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.