
KOTA BHARU, 19 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup 20.4 tan minyak masak peket bersubsidi ke negara jiran menerusi Op Tiris Bersepadu 4.0 dalam tiga serbuan berasingan di Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tumpat, semalam.
- Tiga lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan rampasan minyak masak bersubsidi.
- Rampasan terbesar di Kampung Telaga Bata, Tumpat: 1,040 kotak (17,680kg) ditemui dalam sebuah lori; siasatan rantaian bekalan sedang dijalankan.
- Minyak dipercayai diperoleh dari Melaka dan Pahang sebelum dibawa ke Kelantan untuk dihantar ke pangkalan haram bersempadan Thailand.
- Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961; usaha mengesan suspek yang melarikan diri giat dijalankan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, operasi itu turut membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, rampasan terbesar dilakukan di Kampung Telaga Bata, Tumpat kira-kira pukul 10.45 malam semalam apabila pemeriksaan ke atas sebuah lori menemukan 1,040 kotak minyak masak peket satu kilogram (kg), membabitkan keseluruhan 17,680kg minyak masak bersubsidi.
“Ini adalah rampasan terbesar setakat ini di Kelantan membabitkan penggunaan sebuah lori. Kami sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti rantaian bekalan, destinasi minyak masak ini serta sumber bekalannya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, minyak masak itu dipercayai diperoleh dari Melaka dan Pahang sebelum dibawa ke Kelantan untuk dihantar ke sebuah pangkalan haram berhampiran sempadan Thailand.
Seorang pemandu lori bersama kelindannya yang masing-masing berusia lingkungan 40-an ditahan bagi membantu siasatan.
Nilai rampasan minyak masak dalam operasi itu dianggarkan RM44,200, manakala nilai keseluruhan sitaan termasuk lori berkenaan dianggarkan RM94,200.
Terdahulu, dalam serbuan di Pasir Puteh, KPDN merampas 1,445kg minyak masak bersubsidi selepas memeriksa sebuah Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun.
Suspek ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah bagi membawa barang kawalan itu.
Sementara itu, dalam serbuan di Kampung Jakar, Pasir Mas, sebuah lagi Perodua Alza yang dipercayai membawa minyak masak bersubsidi cuba melarikan diri sebelum terbabas.
Pemandunya berjaya meloloskan diri, namun meninggalkan 80 kotak mengandungi 1,360kg minyak masak bersubsidi di dalam kenderaan tersebut.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki, mengangkut dan cuba menyeleweng barang kawalan bersubsidi tanpa kebenaran.
Usaha mengesan suspek yang melarikan diri sedang giat dijalankan.