
KLANG, 19 Julai – Polis menyita tujuh motosikal dan mengeluarkan 16 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Op Khas Samseng Jalanan yang dilaksana di Persiaran Raja Muda Musa (Lebuh Turi), awal pagi tadi.
- Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
- Polis memeriksa 13 motosikal dan 13 individu dalam operasi penguatkuasaan.
- Seramai 12 individu menjalani saringan air kencing oleh AADK dan didapati negatif dadah.
- Operasi dijalankan BSPT IPD Klang Selatan bersama JSPT IPK Selangor, JPJ dan AADK bagi membanteras samseng jalanan.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Lim Jit Huey, selain itu, polis turut membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Polis turut memeriksa 13 motosikal dan 13 individu serta mengeluarkan 16 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas. Seramai 12 individu turut menjalani saringan air kencing oleh AADK dan kesemuanya didapati negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Turut terlibat dalam operasi itu ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Operasi yang berlangsung dari pukul 12.01 tengah malam hingga 5 pagi Ahad itu bertujuan membanteras kegiatan samseng jalanan, mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas serta meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya.