
PASIR MAS, 18 Mei – Trend penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah di Kelantan semakin membimbangkan apabila remaja seawal usia 15 tahun dikesan terjebak dengan tabiat itu, termasuk menggunakan vape secara terbuka di kawasan tumpuan awam.
- JKN Kelantan keluarkan 214 kompaun Jan-April bagi kesalahan OBD merokok termasuk penggunaan vape.
- JKN perhebat advokasi dan pendidikan kesihatan untuk membendung gejala vape dalam kalangan remaja.
- Sebanyak 5,227 nasihat dan teguran diberikan kepada individu serta pemilik premis.
- Akta 852 kini diperluaskan ke pelbagai premis, operasi bersepadu turut melibatkan KPDN dan agensi lain.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan memaklumkan, sebanyak 214 kompaun telah dikeluarkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini membabitkan kesalahan Orang Belum Dewasa (OBD) merokok di bawah Seksyen 17(1), termasuk penggunaan vape
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, majoriti remaja yang terlibat berusia antara 15 hingga 16 tahun dan mudah terpengaruh dengan trend semasa.
“Mereka dikesan menggunakan vape di premis makanan, kawasan tumpuan remaja, kafe dan hentian bas. Ada juga premis yang berselindung di sebalik perniagaan lain untuk menjual vape walaupun lesen tidak diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bersama beberapa agensi kerajaan di Pasir Mas.
Dalam pada itu, beliau berkata, JKN Kelantan turut memperhebat pendekatan advokasi dan pendidikan kesihatan bagi membendung gejala tersebut daripada terus menular dalam kalangan remaja.
Sepanjang tempoh sama, sebanyak 5,227 nasihat dan teguran telah diberikan kepada individu serta pemilik premis bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya merokok dan penggunaan vape.
Menurut beliau, pelbagai platform digunakan termasuk program di sekolah, masjid dan komuniti selain kerjasama strategik bersama Jabatan Pendidikan Negeri bagi memperkukuh usaha pencegahan dalam kalangan pelajar.
Beliau turut menegaskan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau pergerakan serta tingkah laku anak-anak agar tidak terjebak dengan budaya vape yang semakin menular.
Katanya, pelaksanaan Akta 852 kini diperluaskan ke pelbagai jenis premis awam dan tidak lagi tertumpu kepada premis makanan atau bangunan kerajaan sahaja.
Operasi bersepadu itu turut melibatkan beberapa agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan penguatkuasaan dapat dijalankan secara lebih menyeluruh dan berkesan.