Sukarelawan tulang belakang kelancaran F1

Sukarelawan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026


SEPANG, 3 Oktober
– Kira kira 1,000 sukarelawan menjadi antara tonggak penting di sebalik kelancaran pengalaman ribuan peminat yang hadir menyaksikan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bertugas hampir 12 jam dari 7 pagi hingga 7 malam, sukarelawan hadapi cuaca panas dan memerlukan kesabaran serta komitmen.
  • Berinteraksi dengan pengunjung antarabangsa, sukarelawan pelajari budaya berbeza dan menjadi rujukan serta kaunter pertanyaan.
  • Tugas termasuk kawal pintu masuk, semak tiket, dan jaga zon seperti Mall atau Mangroves untuk memastikan tempat duduk teratur.

Dikenali sebagai Public Attendant, mereka mula bertugas seawal pukul 7 pagi dan berada di lokasi sehingga pukul 7 malam, selain perlu berdepan cuaca panas sepanjang tempoh bertugas.

Tugasan mereka bukan sekadar menunjukkan arah atau memberikan maklumat kepada pengunjung, sebaliknya menuntut kesabaran dan komitmen kerana perlu berada di lapangan hampir 12 jam.

Penyelaras Sukarelawan, Abdul Razak Abdul Rashid berkata, penganjuran F1 tahun ini turut memberi pengalaman baharu apabila sukarelawan berdepan pengunjung dari pelbagai negara dengan budaya dan keperluan berbeza.

“Sebagai sukarelawan, mungkin kita sudah biasa dengan penganjuran acara di Malaysia. Tetapi kali ini kita dapat melihat bagaimana orang Bahrain, cara mereka dan budaya mereka yang berbeza.

“Permintaan mereka juga berbeza dan cara mereka mengendalikan pengunjung tidak sama. Ia pengalaman yang sangat baik untuk kami. Paling penting, untuk F1 kita berjumpa pelbagai bangsa dari seluruh dunia dan sukarelawan sering menjadi tempat rujukan serta kaunter pertanyaan,” katanya.

Bagi sukarelawan, Nurmashita Abdullah Umar Khitab, pengalaman pertama menyertai program berkenaan memberi peluang kepadanya mengenali kawasan sekitar litar serta memahami skop tugasan yang perlu dilaksanakan.

“Ini kali pertama saya menjadi sukarelawan dan kali pertama juga saya datang ke Sepang. Saya belajar banyak perkara termasuk mengetahui zon tertentu seperti kawasan Mall dan Mangroves.

“Bagi tugasan sebagai sukarelawan, kami perlu membahagikan tugas mengikut kelas. Contohnya, saya ditugaskan menjaga kawasan Mall, tetapi saya juga boleh membantu di kawasan Mangroves,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Khayriel Ikhsan Suip berkata, antara tanggungjawab sukarelawan adalah mengawal pintu masuk dan memastikan pengunjung mempunyai tiket yang sah.

“Kami biasanya menjaga pintu masuk untuk memantau pengunjung dan memeriksa tiket kerana ada yang terus masuk. Tempat duduk di sini bukan free seating, sebaliknya setiap tempat sudah ditetapkan dan ditempah,” katanya.

Daripada mengurus pergerakan pengunjung sehingga membantu mendapatkan maklumat, kehadiran sukarelawan menjadi antara elemen penting dalam memastikan kelancaran penganjuran perlumbaan berprestij itu.

Biarpun tidak berada di podium atau mengendalikan jentera lumba, mereka menganggap kepuasan membantu pengunjung menikmati pengalaman terbaik di Sepang sebagai ganjaran tersendiri.

Bahang matahari dan tempoh bertugas yang panjang juga tidak mematahkan semangat kesemua sukarelawan untuk terus memainkan peranan sepanjang berlangsungnya F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.