Stam puji Haaland sifatkan penyerang terbaik dunia

Bekas pertahanan Manchester United, Jaap Stam vs Erling Haaland

KUALA LUMPUR, 3 OKTOBER – Bekas pertahanan Manchester United, Jaap Stam menyifatkan Erling Haaland sebagai penyerang terbaik dunia ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Stam puji ketajaman Haaland; konsisten menjaringkan gol untuk kelab dan pasukan kebangsaan Norway.
  • Stam imbas pengalaman berdepan Ronaldo Nazário, anggapnya paling sukar dikawal kerana kelajuan dan pergerakan sukar dijangka.
  • Beliau akan mengetuai AllStar World Legends bersama Del Piero, Javier Saviola, Fernando Morientes dan bekas penjaga gol Dida.
  • Perlawanan dipindahkan ke MITEC akibat jerebu, dimainkan format 5 sebelah dengan dua babak masing-masing 20 minit.

Menurut Stam, kemampuan Haaland menghasilkan jaringan secara konsisten bersama kelab dan pasukan kebangsaan Norway membuktikan ketajamannya sebagai penyerang.

“Buat masa ini, saya fikir Haaland adalah yang terbaik. Ia jelas berdasarkan rekod jaringannya serta prestasinya, bukan sahaja bersama kelab, malah bersama pasukan kebangsaan Norway.

“Pencapaiannya amat mengagumkan. Jadi, pada ketika ini, saya menyifatkan Haaland sebagai penyerang terbaik dunia, dengan penuh hormat kepada penyerang lain yang turut beraksi di pentas tertinggi,” katanya pada sidang media Perlawanan Allstar Legends, pada Khamis lalu.

Stam turut mengimbas pengalamannya berdepan legenda Brazil, Ronaldo Nazário, yang disifatkannya sebagai penyerang paling sukar dikawal sepanjang karier.

Katanya, Ronaldo memiliki kepantasan luar biasa ketika menguasai bola selain sukar dijangka pergerakannya.

Stam yang pernah beraksi bersama PSV Eindhoven pada awal kariernya turut menyaksikan perkembangan Ronaldo ketika pemain Brazil itu masih muda sebelum berpindah ke Barcelona FC pada tahun 1996.

Sementara itu, Stam bakal mengetuai pasukan AllStar World Legends bersama Alessandro Del Piero, Javier Saviola, Fernando Morientes dan bekas penjaga gol AC Milan, Dida pada perlawanan Allstar Legends malam ini.

Mereka akan berdepan pasukan AllStar Premier Legends yang dibarisi Michael Owen, Eidur Gudjohnsen, Steven Gerrard dan Ryan Giggs.

Perlawanan malam ini dipindahkan ke dalam dewan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) susulan jerebu yang semakin membimbangkan serta cuaca tidak menentu di sekitar Lembah Klang.

Perubahan lokasi itu menyaksikan perlawanan legenda itu berlangsung dalam format 5 sebelah, dengan dua babak masing-masing selama 20 minit.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.