LTdL 2026: Lennart kekal jersi Jingga selepas Peringkat 7

Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Lennart Jasch (kanan) mengekalkan jersi jingga/Foto RTM Johor Bahru

BATU PAHAT, 3 Oktober – Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Lennart Jasch, mengekalkan jersi Jingga selaku pendahulu keseluruhan selepas tamat Peringkat Ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 di Batu Pahat, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peringkat sejauh 158.9 km dari Melaka ke Batu Pahat hampir keseluruhannya rata, menyaksikan persaingan pecut pantas di kalangan pelumba.
  • Nil Gimeno (Equipo Kern Pharma) menjuarai Peringkat Ketujuh menerusi kumpulan pelarian, meraih kemenangan profesional pertama dalam kariernya.
  • Peringkat Kelapan esok menempuh 188.3 km dari Muar ke Putrajaya, menjadi penentu kedudukan keseluruhan perlumbaan.

Peringkat sejauh 158.9 kilometer dari Melaka ke Batu Pahat itu berlangsung sengit dengan laluan yang hampir keseluruhannya rata, sekali gus menyaksikan persaingan pantas dalam kalangan pelumba.

Jasch mengakui perlumbaan hari ini tetap mencabar selepas mengharungi enam peringkat sebelum ini, namun berpuas hati kerana berjaya mempertahankan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan.

Menjelang peringkat terakhir dari Muar ke Putrajaya esok, pelumba Jerman itu menjangkakan cabaran masih belum berakhir dalam usaha mengekalkan jersi Jingga sehingga ke garisan penamat.

Sementara itu, pelumba Equipo Kern Pharma, Nil Gimeno, muncul juara Peringkat Ketujuh selepas memenangi perlumbaan menerusi kumpulan pelarian, sekali gus meraih kemenangan profesional pertama dalam kariernya.

Gimeno berkata, beliau pada awalnya tidak menjangkakan mampu memenangi perlumbaan berkenaan, namun keempat-empat pelumba dalam kumpulan pelarian memberikan kayuhan sepenuhnya sehingga berjaya mengekalkan kelebihan berbanding kelompok utama.

Beliau turut menyifatkan kemenangan itu hasil kerjasama baik semua pelumba dalam kumpulan pelarian serta pecutan terakhir yang membuahkan hasil.

Peringkat Kelapan dan terakhir LTdL 2026 esok menyaksikan peloton menempuh jarak 188.3 kilometer dari Muar ke Putrajaya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.