KPM umum Sesi Persekolahan 2027 bermula 4 Januari

Foto fail KPM

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan sesi persekolahan tahun 2027 bagi sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan akan bermula pada 4 Januari 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sesi persekolahan Kumpulan A berakhir 2 Disember 2027; Kumpulan B berakhir 3 Disember 2027.
  • Tarikh cuti perayaan diselaraskan termasuk Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Raya Korban, Kaamatan, Gawai, Wesak dan Krismas.
  • Sesi 2028 bagi kedua-dua kumpulan bermula 3 Januari 2028 untuk keselarasan, memudahkan perancangan pentadbiran serta pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkesan.

KPM dalam satu kenyataan, memaklumkan sesi persekolahan bagi negeri Kumpulan A akan berlangsung sehingga 2 Disember 2027, manakala negeri Kumpulan B sehingga 3 Disember 2027.

Kumpulan A membabitkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B melibatkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menurut KPM, tarikh cuti perayaan sepanjang sesi persekolahan 2027 turut diselaraskan, melibatkan sambutan Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Hari Deepavali, Hari Raya Korban, Pesta Kaamatan, Hari Gawai Dayak, Hari Wesak dan Hari Krismas.

“KPM telah menyelaras tarikh-tarikh bagi cuti perayaan sepanjang tempoh sesi persekolahan tahun 2027.

“Semua sekolah hendaklah mematuhi peruntukan cuti tambahan oleh KPM sempena perayaan utama bagi sambutan Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Hari Raya Korban, Hari Wesak dan Hari Deepavali. Peruntukan cuti tambahan berkenaan tidak perlu diganti,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPM menetapkan sesi persekolahan tahun 2028 bagi kedua-dua Kumpulan A dan Kumpulan B akan bermula pada 3 Januari 2028.

Menurut kementerian itu, penyeragaman berkenaan bertujuan memastikan keselarasan pembukaan sesi persekolahan di seluruh negara, selain memudahkan perancangan pentadbiran sekolah serta pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara lebih teratur dan berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.