MiSHA rasmi bawah CDA APM, perkukuh kerjasama KKP

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Ghazali Abd Rahman menyerahkan Sijil Perakuan Pendaftaran CDA kepada Ts. Abd Mutalib Abd Gapar/MiSHA

PETALING JAYA, 3 Oktober – Malaysian Industrial Safety and Health Association (MiSHA) secara secara rasmi berdaftar di bawah Civil Defence Auxiliary (CDA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), sekali gus memperkukuh peluang kerjasama dalam Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), pengurusan risiko serta tadbir urus keselamatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kluster CDA01 menempatkan kepakaran Advisory, R&D dan tadbir urus untuk disalurkan kepada APM.
  • MiSHA menyediakan platform rasmi menyalurkan kepakaran profesional dan industri dalam KKP, pengurusan risiko, penyelidikan dan tadbir urus.
  • Kepakaran disasar sokongan HIRARC, prosedur kerja selamat, penyiasatan insiden, keselamatan pembinaan, kesiapsiagaan kecemasan dan pengurusan risiko psikososial.

MiSHA berdaftar bawah bawah kluster CDA01 – Advisory, Research & Development (R&D) & Governance, iaitu salah satu daripada 12 kluster kepakaran CDA.

Menerusi pendaftaran tersebut, MiSHA menyediakan platform rasmi untuk menyalurkan kepakaran profesional dan industri kepada APM, khususnya dalam bidang KKP, pengurusan risiko, penyelidikan dan pembangunan serta tadbir urus.

Menurut kenyataan APM, CDA diwujudkan bagi membolehkan organisasi kerajaan, bukan kerajaan serta individu yang mempunyai kompetensi tertentu menyumbang kepada APM dan masyarakat.

Antara bidang yang berpotensi mendapat sokongan kepakaran MiSHA ialah khidmat nasihat KKP, pengurusan risiko operasi, pembangunan Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC), prosedur kerja selamat serta langkah kawalan risiko.

MiSHA juga boleh membantu dalam pembangunan standard dan garis panduan KKP, sistem tadbir urus, audit, pemantauan prestasi serta indikator keselamatan dan kesihatan pekerjaan di APM.

Selain itu, kepakaran boleh disalurkan dalam penyiasatan dan analisis insiden, pembangunan budaya serta kepimpinan keselamatan, peningkatan kompetensi KKP, keselamatan pembinaan dan kejuruteraan serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan industri.

Ia termasuk menghadapi insiden seperti bahan kimia, kebakaran industri, keruntuhan struktur, ruang terkurung dan kejadian berisiko tinggi.

Aspek lain yang boleh diterokai termasuk pengurusan risiko psikososial, keletihan, tekanan haba, pendedahan kepada asap atau bahan berbahaya serta keselamatan dan kesejahteraan anggota selepas menjalankan operasi kecemasan.

Kerjasama itu turut berpotensi menghubungkan APM dengan sektor industri melalui rangkaian profesional MiSHA yang merangkumi bidang pembinaan, kejuruteraan, minyak dan gas, pembuatan serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Antara inisiatif yang boleh diteroka ialah pembangunan kerangka keselamatan dan kesihatan pekerjaan khusus untuk anggota dan petugas respons kecemasan, termasuk penilaian risiko, penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE), kompetensi, keselamatan operasi dan pelaporan insiden.

Pendaftaran MiSHA di bawah CDA01 itu dijangka memperkukuh kerjasama antara APM dan MiSHA dalam menggabungkan kepakaran pertahanan awam dengan pengalaman industri serta profesional KKP, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kesiapsiagaan, keselamatan anggota dan ketahanan pengurusan kecemasan negara.

Terdahulu, penyerahan Sijil Perakuan Pendaftaran CDA kepada MiSHA disempurnakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Pj. (PA) Ghazali Abd Rahman, diiringi Pengarah APM Negeri Selangor, YS Kol. (PA) Fazlisyah Muslim.

Sijil diterima bagi pihak MiSHA oleh Mejar Bersekutu (PA) Ts. Abd Mutalib Abd Gapar.

Program berlangsung bersempena dengan Majlis Perhimpunan Setia dan Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) Peringkat Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.