‘Demam’ Grand Prix jadi pemangkin minat generasi muda terhadap STEM

Foto Pusat Sains Negara

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – ‘Demam’ Grand Prix dimanfaatkan sebagai platform untuk mendekatkan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Karnival di Planetarium Negara dedahkan pengunjung kepada fizik, aerodinamik dan teknologi yang menyokong dunia perlumbaan.
  • Lebih 20 tarikan interaktif praktikal seperti simulator perlumbaan, Drift Challenge, Balloon Car Race dan pembinaan kereta solar.
  • Pendekatan pengalaman membantu pengunjung faham prinsip sains seperti getaran, geseran dan teknologi di sebalik kelajuan.
  • Program terbuka untuk semua peringkat umur; penganjur menyasarkan 10,000 hingga 12,000 pengunjung sepanjang karnival.

Menerusi Mini Karnival Terokai Sains Pecutan di Planetarium Negara, pengunjung bukan sahaja dapat melihat kehebatan jentera berkelajuan tinggi, malah didedahkan kepada konsep fizik, aerodinamik dan teknologi yang menjadi asas kepada dunia perlumbaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu berkata, populariti Grand Prix dimanfaatkan sebagai pendekatan untuk menjadikan bidang sains lebih dekat dan menarik kepada masyarakat.

“Kami juga nak gunakan program Grand Prix ini sebagai asas untuk menarik minat warga Malaysia kepada sains, terutamanya golongan muda sebab Grand Prix ini kita tahu ramai peminat,” katanya.

Karnival selama dua hari itu mengetengahkan lebih 20 tarikan berkonsepkan pembelajaran secara interaktif dan praktikal.

Antara aktiviti yang disediakan ialah simulator perlumbaan, Drift Challenge, Balloon Car Race, pembinaan kereta solar, kereta mini hidrogen, Pit Stop Science serta Litar Aero Drive.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sains Negara, Dr. Norzilawati Md Kamsor berkata, pendekatan berasaskan pengalaman membantu pengunjung memahami bahawa pelbagai prinsip sains memainkan peranan penting dalam menghasilkan kelajuan sesebuah jentera.

“Mereka mula memahami di sebalik kelajuan, sebenarnya ada banyak rahsia sains yang tersembunyi, terutama berkaitan dengan getaran, geseran dan teknologi dan apakah yang perlu dikuasai oleh seorang pelumba,” katanya.

Program berkenaan terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak prasekolah, murid sekolah rendah dan menengah, pelajar kolej dan institusi pengajian tinggi, ibu bapa serta orang awam.

Penganjur menyasarkan antara 10,000 hingga 12,000 pengunjung sepanjang karnival yang berlangsung hari ini dan esok, dari 9 pagi hingga 5 petang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.