Perkukuh institusi keluarga depani cabaran teknologi dan media sosial – DS Dr. Wan Azizah

Foto fail BERNAMA

SHAH ALAM, 3 Oktober – Institusi keluarga perlu diperkukuh bagi menghadapi cabaran teknologi dan media sosial, terutama dalam melindungi anak-anak daripada kandungan negatif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu bapa perlu menjadi teladan dan bina persekitaran keluarga yang memberi ruang sokongan serta peluang anak meluahkan perasaan
  • Kurangkan penggunaan telefon dalam keluarga supaya komunikasi bersemuka, kasih sayang dan nilai positif terus dipupuk
  • Perlu sistem sokongan untuk wanita bekerja supaya mereka seimbang antara tanggungjawab keluarga dan tuntutan kerjaya
  • Kerjasama kerajaan, masyarakat, sektor swasta dan komuniti serta pendidikan keibubapaan awal untuk keluarga lebih berdaya tahan

Menurut Pengerusi KASIH Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ibu bapa perlu menjadi teladan kepada anak-anak serta membina persekitaran keluarga yang memberi ruang untuk mereka mendapatkan sokongan dan meluahkan perasaan.

“Kita kini semakin kurang berkomunikasi antara satu sama lain dalam keluarga kerana masing-masing lebih banyak melihat telefon.

“Jangan biarkan teknologi mengambil alih peranan keluarga kerana hubungan dan kasih sayang tetap penting,” katanya ketika berucap merasmikan Program Wacana Kasih Keluarga Madani Peringkat Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri turut menekankan kepentingan mengekalkan hubungan bersemuka dalam keluarga supaya kasih sayang, nilai positif dan rasa tanggungjawab terus dipupuk dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, masyarakat perlu terus memberi sokongan kepada wanita yang bekerja dan berkeluarga, terutama bagi membantu mereka mengimbangi tanggungjawab keluarga dengan tuntutan kerjaya.

Menurut Datuk Seri Dr. Wan Azizah, sokongan berkenaan penting supaya wanita dapat melaksanakan peranan sebagai ibu dan pekerja dengan lebih seimbang.

Katanya, sistem sokongan yang kukuh turut membantu memastikan keperluan keluarga, khususnya anak-anak, terus diberi perhatian ketika wanita mengurus tuntutan pekerjaan.

“Kita mahukan sistem sokongan untuk wanita. Bukan bermakna kita tidak mahu wanita bekerja, tetapi mereka perlu mempunyai sokongan supaya keluarga, khususnya anak-anak, mendapat kekuatan dan perhatian yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Masdiana Muhamad berkata sokongan keluarga perlu mengambil kira keperluan berbeza setiap isi rumah.

Katanya, keperluan itu termasuk membantu keluarga menghadapi tekanan ekonomi, tuntutan pekerjaan, penjagaan anak berkeperluan khas serta tanggungjawab menjaga anggota keluarga.

“Bantuan tidak seharusnya diberikan hanya apabila keluarga sudah berada dalam kesusahan. Sebaliknya, sokongan perlu disediakan lebih awal melalui pendidikan keibubapaan serta penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Datin Seri Masdiana berkata keluarga hari ini turut berdepan tekanan kos sara hidup, tuntutan pekerjaan, kekangan masa serta perubahan teknologi yang memerlukan sokongan pelbagai pihak.

Beliau berkata kerjasama kerajaan, masyarakat, sektor swasta dan komuniti penting bagi membina keluarga lebih berdaya tahan serta meningkatkan keupayaan mereka untuk berdikari.

PEKAWANIS bersama Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia) menganjurkan Wacana Kasih Keluarga Madani bagi memperkukuh institusi kekeluargaan dan kesejahteraan masyarakat.

Program itu turut menampilkan forum “Peranan Keluarga Madani: Dari Keluarga ke Negara” serta sesi perkongsian mengenai keseimbangan peranan keluarga dan pembentukan masyarakat sejahtera.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.