10 cedera kereta rempuh penyokong ragbi

Foto Fail RTM

SYDNEY, 3 Oktober – Sebuah kereta merempuh sekumpulan peminat ragbi liga di bandar Newcastle, timur Australia mengakibatkan 10 orang termasuk kanak kanak cedera selepas pemandunya dipercayai hilang kawalan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu berusia 18 tahun dilaporkan hilang kawalan selepas memecut enjin ketika teruja sebagai penyokong.
  • Dua mangsa, kanak-kanak perempuan lima tahun dan lelaki 67 tahun, berada dalam keadaan kritikal; dua lagi kanak-kanak turut cedera.
  • Pemandu ditahan untuk siasatan, sementara pemimpin dan komuniti memberikan ucapan simpati dan sokongan kepada mangsa serta keluarga.

Menurut polis, ribuan penyokong berkumpul untuk memberi sokongan kepada pasukan ragbi liga tempatan, Newcastle Knights, menjelang perlawanan akhir menentang Sydney Roosters, Ahad ini.

Namun, suasana meriah bertukar cemas apabila seorang peminat ragbi berusia 18 tahun yang memandu secara tidak menentu hilang kawalan sebelum merempuh kumpulan berkenaan.

Sementara itu, Datuk Bandar Newcastle, Gavin Morris berkata, pemandu terbabit dipercayai sedang memecutkan enjin dan teruja sebagai penyokong sebelum kenderaan dipandunya hilang kawalan.

Dua mangsa, masing masing seorang kanak kanak perempuan berusia lima tahun dan lelaki berusia 67 tahun, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dua lagi kanak kanak turut cedera.

Pemandu berkenaan telah ditahan polis untuk siasatan.

Menteri Jalan Raya New South Wales, Jenny Aitchison berkata, tindakan yang dibuat dalam sekelip mata itu telah membahayakan orang ramai.

“Seorang individu membuat keputusan dalam sekelip mata yang menyebabkan semua orang berada dalam keadaan berbahaya,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyampaikan ucapan simpati kepada semua yang cedera dan mereka yang terlibat dalam kejadian itu.

“Ragbi liga menyatukan masyarakat dan hujung minggu ini sepatutnya menjadi detik penuh keterujaan serta kebanggaan buat penyokong Newcastle,” katanya menerusi hantaran di X.

Kapten Newcastle Knights, Kalyn Ponga turut menyampaikan sokongan kepada mangsa dan keluarga menerusi Instagram.

“Kami memikirkan anda, keluarga serta seluruh komuniti Newcastle. Kami mengirimkan kasih sayang dan sokongan,” katanya.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.