Pembantu perancang acara didakwa pandu bawah pengaruh alkohol

Low Kean Peng, 35, didakwa memandu sebuah kenderaan dengan kadar alkohol sebanyak 196 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa/Bernama

KLANG, 18 Mei- Seorang pembantu perancang acara sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan seorang penghantar p-panggilan cedera parah, minggu lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan kecederaan parah kepada penunggang motosikal.
  • Pertuduhan di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan membawa hukuman penjara tujuh hingga sepuluh tahun dan denda maksimum RM50,000.
  • Mahkamah benarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin; lesen digantung dan perintah lapor diri dua kali sebulan.
  • Pendakwa cadang jaminan RM15,000 dan menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah, mengambil kira keseriusan kecederaan parah kepada mangsa.

Low Kean Peng, 35, didakwa memandu sebuah kenderaan dengan kadar alkohol sebanyak 196 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa, penunggang motosikal Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, di Persiaran Kota di sini pada 12.35 tengah malam, 13 Mei.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang tujuh tahun daripada tarikh sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nadia Syuhada Rosli mencadangkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah sehingga kes selesai, mengambil kira keseriusan kesalahan yang menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa.

Bagaimanapun, peguam Ethan W. H. Tan yang mewakili Low merayu jaminan minimum atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama ibu bapa yang uzur serta menghidap penyakit kencing manis dan kanser.

Majistret A. Karthiyayini membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan lesen memandunya digantung dan perlu melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis berdekatan.

Mahkamah menetapkan 30 Julai untuk sebutan semula kes.

Prosiding pendakwaan hari ini turut dihadiri keluarga mangsa termasuk ibu Hamidah Othman, 54, dan tunang mangsa Nurul Syafiqah Ridzuan, 25. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.