Remaja lelaki mengaku tidak bersalah miliki 3,455 liter diesel tanpa lesen sah

M. Thiinesh, 19 tahun dituduh memiliki 3,455 liter diesel tanpa lesen sah

BUTTERWORTH, 18 Mei – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memiliki lebih 3,000 liter diesel tanpa lesen sah, minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • M. Thiinesh mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
  • Didakwa memiliki 3,455 liter diesel dalam enam tangki IBC di belakang sebuah lori kanvas di Kompleks KPDN Pulau Pinang.
  • Didakwa mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta 1961; jika sabit boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun.

Namun, tertuduh M. Thiinesh, 19 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu sebanyak 3,455 liter diesel yang disimpan dalam enam buah tangki IBC pada bahagian belakang sebuah lori kanvas.

Kesalahan dilakukan di Kompleks Penyimpanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, kira-kira pukul 11.30 malam, 14 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan boleh dihukum di bawah Seksyen22(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Preeya Darrsini manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri setiap bulan ke balai polis berdekatan, manakala kes akan disebut semula pada 24 Jun depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.