
KOTA BHARU, 18 Mei – Dendam lama dipercayai menjadi punca seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20; dibunuh di Padang Lati, Bachok, 14 April lalu.
- Tujuh suspek berusia 25 hingga 52 tahun, termasuk pasangan suami isteri, ditahan; dua suspek utama berumur 25 dan 27 tahun.
- Semua suspek adalah rakan dan kenalan mangsa, menurut polis.
- Pergaduhan di sebuah rumah di Kota Bharu membawa kepada pembunuhan; mangsa dipukul dengan blok enjin motosikal dan topi keledar.
- Dua suspek utama dijangka dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil penahanan tujuh suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun termasuk pasangan suami isteri mendapati berlaku perselisihan faham antara mereka.
“Suspek utama ni dua orang. Satu lelaki berumur 25 tahun dan juga berumur 27 tahun. Yang lain-lain tu dipercayai bersubahat membantu melupuskan bahan bukti, bawa mangsa dari tempat kejadian dan tinggalkan di tepi jalan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Jelasnya, siasatan lanjut juga mendapati, kesemua suspek adalah rakan dan kenalan mangsa.
Konflik berpanjangan menyebabkan suspek dan mangsa bergaduh di sebuah rumah di Kota Bharu yang akhirnya membawa kepada insiden pembunuhan.
“Mangsa dipercayai dipukul pada bahagian dada menggunakan blok enjin motosikal manakala topi keledar digunakan untuk memukul mukanya semasa pergaduhan. Suspek kemudian membawa mangsa menaiki kenderaan sebelum meninggalkannya di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati di Bachok,” ujarnya.
Beliau berkata, Muhammad Zakir Fikry ditinggalkan di tepi jalan seolah-olah mangsa terlibat dalam nahas jalan raya.
Polis turut merampas sebuah kereta, tiga motosikal, enam telefon bimbit dan dua batang kayu yang dipercayai digunakan ketika kejadian bagi membantu siasatan.
Kesemua tujuh suspek kini direman manakala dua suspek utama dijangka dituduh di mahkamah dalam masa terdekat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.