
PELABUHAN KLANG, 18 Mei – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) memasuki hari ketiga hari ini bagi mengesan tiga lagi mangsa yang masih hilang selepas sebuah bot pom-pom membawa 19 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) karam di perairan Sabak Bernam awal pagi Sabtu lalu.
- 16 PATI berjaya diselamatkan; terdiri 10 lelaki (2 Bangladesh, 8 Indonesia) dan 6 wanita warga Indonesia, usia 24 hingga 50 tahun.
- Vesel Nelayan Tempatan awalnya menyelamatkan mangsa sebelum aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia tiba di lokasi.
- Operasi CARILAMAT diarah dari Pangkalan Hadapan Jeti Kelong Paradise; pencarian bermula 7.00 pagi, melibatkan Maritim, PPM dan JBPM, meliputi 236 batu nautika persegi.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada kru bot terbabit kira-kira pukul 4.45 pagi memaklumkan bot itu mengalami kebocoran pada kedudukan 2.1 batu nautika barat daya Sungai Apong, Sabak Bernam.
Susulan kejadian itu, Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk dan Bot Penggalang 41 segera diatur gerak ke lokasi bagi melaksanakan operasi menyelamat.
Menurut beliau, Bot Penggalang 41 yang tiba di lokasi sekitar pukul 9.00 pagi mendapati bot pom-pom berkenaan telah karam sepenuhnya.
“Seramai 16 PATI berjaya diselamatkan manakala tiga lagi masih dilaporkan hilang dan usaha pencarian sedang giat dijalankan.
“Mangsa yang berjaya diselamatkan terdiri daripada 10 lelaki melibatkan dua warga Bangladesh dan lapan warga Indonesia, selain enam wanita warga Indonesia berusia antara 24 hingga 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua mangsa dipercayai diselamatkan terlebih dahulu oleh Vesel Nelayan Tempatan (VNT) sebelum ketibaan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Bagi menyelaras operasi pencarian, sebuah Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) dibuka di Jeti Kelong Paradise sebagai pusat koordinasi operasi melibatkan pelbagai agensi penyelamat.
Operasi pencarian yang bermula seawal pukul 7.00 pagi hari ini melibatkan aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), meliputi radius pencarian seluas 236 batu nautika persegi.