Lebih 74,000 terkorban di Gaza sejak konflik pada 2023

Keadaan di Gaza selepas serangan rejim Zionis/ AFP

MOSCOW, 8 Oktober – Lima rakyat Palestin maut dan 11 lagi cedera di Gaza dalam tempoh 24 jam lepas, menurut Kementerian Kesihatan Gaza menjelang ulang tahun ketiga konflik yang tercetus pada Oktober 2023, lapor Sputnik/RIA Novosti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah keseluruhan rakyat Palestin terkorban sejak Oktober 2023 kini mencecah 74,250 orang; 175,278 cedera.
  • Operasi darat tentera Israel selepas serangan roket Oktober 2023 menyebabkan sebahagian besar Gaza musnah.
  • Walaupun gencatan senjata sejak Oktober 2025, serangan Israel berterusan, dan PBB menilai keadaan kemanusiaan kekal kritikal.

“Dalam tempoh 24 jam lepas, jasad empat orang yang meninggal dunia serta seorang lagi yang maut akibat kecederaan yang dialami sebelum ini dibawa ke hospital di Gaza. Selain itu, 11 orang yang cedera mendapatkan rawatan di hospital,” menurut kenyataan kementerian itu.

Jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang terkorban sejak konflik bermula pada Oktober 2023 kini mencecah 74,250 orang manakala jumlah yang cedera ialah 175,278 orang.

Pada Oktober 2023, konflik Palestin-Israel meningkat apabila Israel berdepan serangan roket berskala luar biasa dari Gaza.

Tentera Israel kemudiannya melancarkan operasi darat yang mengakibatkan sebahagian besar Gaza musnah.

Gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza sejak Oktober 2025, namun tentera Israel terus melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin dengan menyatakan bahawa sasaran mereka ialah kemudahan dan anggota Kumpulan Hamas.

Menurut penilaian Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), keadaan kemanusiaan di wilayah itu kekal kritikal berikutan kemusnahan berskala besar, gangguan terhadap operasi institusi perubatan serta kesukaran berterusan dalam menyalurkan makanan dan keperluan asas kepada penduduk.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.