Empat sindiket dadah tumpas, rampasan bernilai RM17.8 juta

Datuk Shazeli Kahar (tengah) bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini – Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 18 Mei – Polis Selangor menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bunga ganja seberat 172.8 kilogram (kg) dan 79 kg syabu bernilai keseluruhan RM17.8 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan dijalankan antara 6 hingga 11 Mei di Terminal Satu KLIA dan sebuah kediaman di Ampang Jaya.
  • Jumlah keseluruhan rampasan mencapai 251.8 kilogram dadah hasil beberapa serbuan berasingan.
  • Tujuh suspek ditahan, terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan enam warga asing, umur antara 17 hingga 31 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, rampasan itu dibuat menerusi empat serbuan berasingan di Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebuah kediaman di Ampang Jaya, pada 6 hingga 11 Mei lalu.

Tujuh suspek ditahan termasuk seorang lelaki tempatan serta masing-masing tiga lelaki dan wanita warganegara asing, berusia antara 17 hingga 31 tahun.

“Secara keseluruhan, operasi tersebut membawa kepada rampasan dengan jumlah keseluruhan 251.8 kg dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Dalam serbuan pertama pada 6 Mei lepas, polis menahan tiga suspek warga asing termasuk dua wanita selepas pihaknya mengesan empat bagasi mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas di terminal KLIA.

72.6 kg ganja bernilai RM5.8 juta dirampas dalam serbuan tersebut.

Serbuan kedua pada 9 Mei di KLIA pula melibatkan rampasan seberat 72.8 kg ganja bernilai RM5.85 juta daripada seorang lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 30 dan 31 tahun.

Sementara itu, operasi ketiga dijalankan pada 10 Mei melibatkan seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun yang ditahan di KLIA bersama 27.4 kg ganja bernilai RM2.2 juta.

Dalam serbuan lain pada 11 Mei, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun ditahan di Ampang Jaya dengan rampasan 79 kg syabu bernilai RM3.95 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.