
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Polis memburu sekumpulan individu lelaki yang dikesan mencetuskan gangguan awam termasuk membakar suar di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda di Bukit Bintang, awal pagi tadi.
- Video tular menunjukkan beberapa individu melakukan aksi berbahaya menaiki kenderaan dan dua motosikal scrambler, mengancam keselamatan awam.
- Polis menggesa individu terlibat tampil menyerah diri dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
- Polis menyemak rakaman CCTV, menyiasat kain rentang bernombor 6.6, dan kes disiasat di bawah beberapa seksyen perundangan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian pukul 2 pagi itu dikesan menerusi video tular di media sosial yang memaparkan beberapa individu menaiki kenderaan itu dan dua motosikal jenis ‘scrambler’ melakukan aksi berbahaya.
Menurutnya, perbuatan itu boleh mengancam keselamatan pengunjung, peniaga dan pelancong di kawasan berkenaan.
“Pihak polis menyeru semua individu yang terbabit dalam video berkenaan tampil menyerah diri bagi membantu siasatan selain memohon bantuan orang ramai menyalurkan maklumat kejadian itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Sazalee berkata, pihaknya telah membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lokasi kejadian, namun memerlukan maklumat lanjut kerana semua kenderaan terbabit tiada nombor pendaftaran.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang mengganggu keselamatan awam, khususnya di kawasan tumpuan pelancong seperti Bukit Bintang,” katanya.
Sazalee berkata, polis turut menyiasat kain rentang bernombor ‘6.6’ yang dipamerkan kumpulan itu.
Menurutnya, pihaknya masih mengumpul maklumat mengenai maksud nombor berkenaan serta telah mengesan sebuah kedai pakaian di Dengkil yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran.