Cuba lolos sekatan polis, enam cedera akibat perlanggaran

Operasi banteras samseng jalanan berhampiran Kampung Tebauk, Kuala Nerus malam tadi/ RTM

KUALA NERUS, 17 April- Operasi bersepadu membanteras samseng jalanan di Jalan Tengku Mizan berhampiran Kampung Tebauk di sini bertukar tegang apabila tindakan sekumpulan penunggang motosikal melarikan diri mencetuskan kemalangan yang menyebabkan enam orang cedera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menyita 46 motosikal dan mengeluarkan 228 saman atas pelbagai kesalahan trafik.
  • JPJ menyita 102 kenderaan, ambil tindakan terhadap 56 lagi dan keluarkan 280 notis termasuk tiada lesen dan cukai jalan tamat.
  • Penunggang cuba meloloskan diri menyebabkan perlanggaran antara motosikal dan cubaan merempuh anggota; penunggang berusia 16-21 tahun terbabit.

Dalam operasi bermula pukul 10.00 malam Selasa hingga 8.00 pagi tadi itu, Polis Kontinjen Terengganu menyita 46 motosikal dan mengeluarkan 228 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Nor berkata beberapa penunggang cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan dan dikejar polis.

Tindakan itu mengakibatkan perlanggaran sesama motosikal serta mencetuskan kemalangan membabitkan enam buah motosikal, selain terdapat penunggang yang cuba merempuh anggota bertugas sebelum hilang kawalan dan terbabas.

Beliau berkata semua penunggang yang terlibat dalam kemalangan itu berusia antara 16 hingga 21 tahun dengan empat daripadanya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Kesemua motosikal yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk tindakan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam operasi sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menyita 102 kenderaan serta mengambil tindakan terhadap 56 yang lain, selain mengeluarkan 280 notis atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh dan spesifikasi kenderaan tidak dipatuhi.

Operasi bersepadu itu dijalankan susulan aduan awam berkaitan kegiatan lumba haram dan bunyi bising.

Pihak berkuasa memaklumkan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti berkenaan yang membahayakan pengguna jalan raya serta mengganggu ketenteraman awam.