Sindiket eksploitasi pembantu rumah tumpas, lapan diselamatkan

Foto: JIM

KUALA LUMPUR, 17 April- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sebuah sindiket eksploitasi tenaga kerja pembantu rumah asing yang dipercayai telah beroperasi sejak setahun lepas dalam operasi khas di 11 lokasi sekitar Lembah Klang pada 15 April.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lapan wanita warga Indonesia diselamatkan selepas risikan lebih sebulan.
  • Sindiket menjanjikan pekerjaan kepada warga Indonesia tanpa pas sah dan menipu majikan untuk urus pas, mengenakan bayaran RM4,500 hingga RM6,000 setiap pembantu.
  • Beberapa ejen haram ditahan, 18 warga asing ditahan kerana tiada pas sah; 21 pasport dan barangan disita, mangsa ditempatkan di rumah perlindungan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata sebanyak lapan perempuan warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi berjaya diselamatkan hasil maklumat dan risikan selama satu bulan.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menjanjikan pekerjaan kepada warga Indonesia yang tidak mempunyai pas yang sah untuk bekerja di negara ini.

“Sindiket juga dipercayai memperdaya majikan untuk menguruskan pekerja yang dibekalkan bagi mendapatkan pas untuk bekerja di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Datuk Zakaria berkata bayaran yang dikenakan kepada setiap majikan sebanyak RM4,500 hingga RM6,000 bagi setiap seorang pembantu rumah asing yang dibekalkan.

Beliau berkata dua wanita warga tempatan yang dipercayai sebagai ejen haram terdiri daripada seorang ibu dan anaknya yang dikenali sebagai ‘Ibu Maznah’ telah ditahan dalam operasi itu.

“Dalam serbuan kedua, pasukan operasi berjaya menahan dua lelaki warga Yaman dan dua perempuan warga Indonesia yang dipercayai sebagai ejen haram dikenali sebagai ‘Ibu Nancy’,” katanya.

Datuk Zakaria berkata ejen haram itu, dipercayai membekalkan dan mengeksploitasi perempuan warga Indonesia dengan bekerja sebagai Pembantu Rumah Asing (PRA).

“Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’,” katanya.

Foto: JIM

Selain itu, Datuk Zakaria berkata pemeriksaan di lokasi lain membawa kepada penahanan 18 warga Indonesia terdiri daripada 10 lelaki dan lapan wanita kerana tidak memiliki pas yang sah untuk berada di negara ini.

Datuk Zakaria berkata pasukan operasi turut menyita 21 pasport Indonesia, tujuh unit telefon bimbit, dokumen perjanjian antara ejen dan majikan serta sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan bagi kegiatan berkenaan.

Beliau berkata kesemua ejen haram itu ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala seorang wanita tempatan turut ditahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Sementara itu, 18 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala kesemua mangsa yang diselamatkan ditempatkan di rumah perlindungan.

Datuk Zakaria berkata dua lelaki dan tiga perempuan warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.