
GUA MUSANG, 17 April- Kejadian ratusan ikan ditemukan mati di sepanjang Sungai Ketil berhampiran Taman Rimba di sini akan dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan Negeri bagi tindakan lanjut.
- Pengunjung menemui banyak ikan mati dan ikan kecil terapung, air kelihatan pelik pada pagi lawatan memancing.
- Penduduk dan pengunjung terkejut dan menggesa semua pihak menjaga kebersihan, tidak membuang sisa ke dalam sungai.
- Kejadian menjejaskan aktiviti rekreasi seperti berkhemah dan mandi; pengunjung mahu pihak berwajib pantau serta ambil tindakan.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Jajahan Gua Musang, Mohd Roshdi Ismail.
Dalam kejadian pagi tadi, seorang pengunjung, Muhammad Che Mahmood memaklumkan beliau menyedari insiden ketika tiba di lokasi untuk memancing.
“Saya tiba kira-kira pukul 7.45 pagi dan mendapati keadaan air sungai agak pelik dengan kehadiran ikan kecil yang timbul di permukaan.
“Apabila diperiksa, terdapat banyak ikan pelbagai saiz ditemukan mati di permukaan sungai,” ujarnya.
Seorang lagi pengunjung, Muhammad Afif Sukhairi meluahkan rasa terkejut melihat keadaan tersebut dan menggesa semua pihak menjaga kebersihan sungai.
“Saya terkejut melihat ikan terapung dan tidak menyangka keadaan sedemikian berlaku. Semua pihak termasuk penduduk tempatan serta pihak kilang perlu menjaga kebersihan dengan tidak membuang sisa ke dalam sungai.
“Kawasan ini menjadi tempat keluarga beriadah dan menenangkan fikiran, justeru perlu dipelihara,” katanya.
Hasmanizan Ahmed berkata, kejadian itu menjejaskan aktiviti rekreasi pengunjung yang datang untuk berkhemah dan mandi sungai.
“Saya datang untuk berkhemah dan mandi sungai, tetapi bila air tercemar, memang tidak berani untuk mandi.
“Keadaan ini mengecewakan dan pihak berwajib perlu pantau serta ambil tindakan supaya kawasan ini kekal terpelihara,” katanya.