
CYBERJAYA, 17 April- Kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan pemotongan gaji menteri Kabinet sekiranya keadaan ekonomi negara menjadi lebih meruncing susulan krisis tenaga global.
- Perdana Menteri berkata gaji menteri di Malaysia relatif rendah berbanding tanggungjawab yang dipikul.
- Keutamaan ialah memastikan menteri melaksanakan tugas dengan baik demi kepentingan rakyat, bukan soal pemotongan gaji.
- Anwar berkata beliau tidak ada masalah tidak mengambil gaji, tetapi gaji itu hak mereka jika tugas dilaksanakan dengan baik.
- Beliau tidak menolak pemotongan gaji sekiranya keadaan ekonomi lebih meruncing dan akan meneliti contoh seperti Indonesia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata kadar gaji menteri di Malaysia adalah relatif rendah jika dibandingkan dengan tanggungjawab yang dipikul, namun kadar itu masih munasabah selagi prestasi kerja berada pada tahap baik.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan ketika ini ialah memastikan barisan menteri melaksanakan tugas dengan baik demi kepentingan rakyat berbanding soal pemotongan gaji.
“Gaji kita relatif memang rendah gaji-gaji menteri, tetapi yang penting mereka bekerja dengan baik. Macam saya, saya tidak ada masalah tidak mengambil gaji, namun gaji itu hak mereka selagi mereka menjalankan tugas dengan baik, saya fikir (kadar itu) munasabah.
“Bagaimanapun, tidak ada halangan (pemotongan gaji menteri) kalau keadaan ekonomi ini lebih meruncing perkara itu akan difikirkan,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan meneliti cadangan pemotongan gaji menteri seperti yang dilaksanakan di Indonesia.